Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI bertitah, ini kerana revolusi industri akan menyaksikan pembangunan pantas dalam bidang kepintaran buatan, teknologi nano, robotik, pembelajaran mesin, pencetak 3-D, bioteknologi dan genetik.

Titah baginda, perkemba­ngan tersebut sekali gus me­nyaksikan lebih banyak penemuan dan ciptaan baharu dalam sektor pembuatan, penjagaan kesihatan dan tenaga bersih.

“Forum Ekonomi Sedunia mengunjurkan akan berlaku perubahan besar dalam pasaran pekerjaan global semasa era revolusi tersebut.

“Justeru, modal insan khususnya graduan UPSI diperlukan menguasai kemahiran dan memiliki pengetahuan baharu lagi berbeza. Kegagalan melakukan adaptasi terhadap teknologi baharu akan menyaksikan hampir 10 juta pekerjaan hilang menjelang 2020,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-20 di Dewan Besar, Kampus Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Konvokesyen UPSI kali ini menyaksikan seramai 5,644 graduan menerima ijazah serta diploma masing-masing melibatkan 92 ijazah doktor falsafah, 1,149 ijazah sarjana, 2,935 ijazah sarjana muda, 336 Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dan 1,132 diploma bermula hari ini sehingga 1 November ini.

Konvokesyen itu turut meng­anugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan kepada Tan Sri Dr. Haili Dolhan yang merupakan Pengerusi Suruhanjaya Perkhid­matan Pelajaran Malaysia.