Program yang diadakan di Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah UMT itu telah dirasmikan oleh Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim dan melibatkan penyertaan 30 pelajar cemerlang UMT dari peringkat ijazah sarjana muda hingga Ijazah doktor falsafah (PhD).

Pakar Etnografi UMT yang juga Ketua Projek PSIT, Prof. Madya Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir berkata, program kali keempat yang dianjurkan itu diadakan dalam usaha melahirkan pakar saintis Islam ke arah pemantapan akidah, membentuk akhlak mulia yang berwibawa dengan berbekalkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi Islam.

“Dalam program ini peserta didedahkan dengan modul sains Islam yang yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni, dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Inilah modal insan yang memiliki personaliti unggul.

“Seterusnya, penekanan aspek-aspek pendidikan sains menurut al-Quran dititikberatkan dalam pendidikan iaitu meliputi pendidikan sains yang berlandaskan Islam selain memiliki sikap adil, lemah-lembut, kasih sayang, persamaan, musyawarah, persaudaraan, berdisiplin, boleh dijadikan contoh, memudahkan pengajaran dan mengarah ke masa depan yang maju dan cemerlang,” katanya.

Mohd. Fadzil berkata, penganjuran program itu juga dilihat mampu menggalakkan kreativiti dan inovasi Islam dalam kalangan pensyarah dan pelajar UMT.

“Saya percaya program ini mampu menjadi perintis kepada usaha UMT bagi melahirkan lebih ramai saintis muda, khususnya beragama Islam yang mempunyai tahap profesional akademik unggul dan pengetahuan agama yang sempurna,” ujarnya.