Pengerusi KPTM, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, kolaborasi berkenaan membabitkan kursus baharu, iaitu bidang teknologi nano, pengurusan alam sekitar dan teknologi pertanian moden.

“Pengurusan alam sekitar misalnya, merupakan bidang terpenting di negara ini untuk menitip pengetahuan pelajar dan orang ramai bagi mengurangkan masalah pencemaran dan impak sampingan sekiranya sesuatu kawasan itu dibangunkan untuk perumahan dan industri.

“Kursus alam sekitar termasuk bidang lain antara aspirasi pengurusan KPTM untuk mengutip kepakaran dan pengalaman dari negara maju bagi melatih tenaga profesional tempatan serta boleh diasosiasikan dengan pembangunan pada masa akan datang,” katanya.

Yang hadir sama, Pegawai Pendidikan Jerantut, Ali Affandi Abdul Majid.

Menurut Ahmad Nazlan, KPTM juga akan bekerjasama bagi menimba latihan kepakaran dari pusat pengajian tinggi di Indonesia mengenai teknologi pertanian untuk menjana industri itu serta diadaptasi sesuai dengan guna tanah, iklim dan pasaran.

“KPTM masih dalam perbincangan dengan Timbalan Speaker Parlimen Indonesia dalam usaha merintis latihan dan pengetahuan teknologi pertanian moden berasaskan kawasan terhad, tetapi mampu mengeluarkan produk yang banyak dan berkualiti,” ujarnya.

Beliau berkata, KPTM juga akan turut menawarkan tempat kepada pelajar asing yang ingin melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti KPTM di Cheras dan beberapa buah negeri di Semenanjung.

“Sehingga ini, seramai 50 orang pelajar negara Thailand dan Indonesia yang mengikuti pengajian bidang pengurusan dan peniagaan di KPTM Cheras.

“KPTM juga sedang mengatur kerjasama dengan Dewan Usahawan Bumiputera Sabah yang mempunyai hubungan perniagaan dengan dewan perniagaan negara China untuk merintis kemasukan seramai 100 orang pelajar dari negara Tembok Besar itu mengikuti pengajian di KPTM,” ujarnya.

Sementara itu seorang pelajar miskin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin di Jerantut, Pahang, Aniss Bukharie Abdul Rahman, 16 berkata, bantuan sebanyak RM200 itu memberi keselesaannya berbelanja pakaian seragam dan peralatan persekolahan.

Tambah anak sulung dari tiga beradik itu, selebihnya wang bantuan itu akan digunakan untuk membeli buku rujukan sebagai persediaan menghadapi peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.