Pengerusinya, Ahmad Nazlan Idris berkata, seramai 20 penuntut Islam dari Thailand sedang mengikuti pengajian peringkat diploma dan ijazah dalam bidang akauntan, perniagaan, komunikasi dan multimedia di kampus KPTM cawa­ngan Cheras, Kuala Lumpur.

Katanya, KPTM juga merancang mengambil seramai 30 penuntut Islam dari Kemboja untuk dijadikan anak angkat institusi berkenaan tidak lama lagi.

“Hasrat KPTM untuk melebarkan peluang pendidikan membabitkan penuntut Islam yang berkelayakan dari negara berkenaan merupakan program perintis dengan bantuan yuran pengajian serta kebajikan tertentu semasa belajar di sini.

“Usaha ini merupakan tanggungjawab sosial dan pembangunan modal insan bahagian pendidikan Mara bukan sahaja memajukan golongan bumiputera luar bandar, malah membantu penuntut Islam di negara lain untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran menerusi peluang belajar di sini,” katanya selepas menziarahi bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Rahimah Mohd. Kawi di Kampung Batu Embun, dekat sini baru-baru ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan UMNO Bahagian Jerantut dan Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan iaitu makanan dan wang tunai kepada Rahimah serta 70 ibu tunggal, 10 veteran UMNO dan pesara guru di daerah ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Nazlan berkata, usaha KPTM mengambil penuntut dari Thailand dan Kemboja selari dengan aspirasi bahagian pendidikan Mara untuk membantu melatih golongan profesional di negara yang sedang membangun.