Pementasan teater berkenaan dipersembahkan oleh ahli Kelab Teater Anai-Anai Politeknik Melaka dibarisi seramai 40 kru produksi dengan bimbingan guru teater, Mohd. Zairi Majid.

Penasihat teater, Mohamed Jayha Mohamed Noor berkata, pementasan Kotak Sendat itu melibatkan tenaga pelajar daripada segi pengarahan, lakonan, penulisan skrip, pengurusan kewangan, penataan cahaya, audio visual, dandanan, prop, pakaian, promosi dan pengurusan acara.

“Kami berasa amat bertuah kerana mendapat kerjasama serta komitmen kemudahan pementasan, latihan, nasihat dan peralatan secara percuma oleh JKKN selain menerima bimbingan peribadi daripada guru teater berkenaan.

“Sokongan terhadap pementasan ini juga telah mendapat sumbangan kewangan dari PMK, Yayasan Melaka dan juga Koperasi PMK,” katanya.

Pementasan teater muzikal Kotak Sendat itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah serta kira-kira 500 penonton.

Mohamed Jayha berkata, biarpun Kelab Teater Anai-anai ini baru sahaja ditubuhkan, namun kru produksi berkenaan telah beberapa kali mengadakan pementasan tea­ter di dalam program anjuran PMK.

“Kita berharap kelab ini akan terus mempergiatkan seni persembahanan teater ini di masa akan datang dengan naskhah yang lebih menarik.

“Kita berharap ia juga mampu mencetus fenomena baharu bidang pementasan bangsawan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya.

Teater Kotak Sendat mengisahkan seorang janda diva berusia awal 40-an dan mempunyai seorang anak gadis. Anak perempuannya itu menaruh hati dengan pemuda yang bekerja sebagai pekerja bawahan, namun mendapat tentangan oleh ibunya, Mak Sendat.