Program selama enam hari itu menjadi medium kepada 192 peserta kursus tersebut untuk menyediakan diri sebagai sukarelawan yang lengkap dengan ilmu penge­tahuan terutama membabitkan bidang kepolisan.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Kese­lamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Supe­rintenden Sheikh Azhar Sheikh Omar berkata, sukarelawan tersebut adalah sebahagian tenaga utama yang bertindak sebagai pasukan sahabat yang boleh membantu keperluan kepolisan.

“Sumbangan golongan ini amat penting dalam kesukarelawanan kerana mereka berpengetahuan dan terdedah dengan arus teknologi maklumat

“Penubuhan Kor Suksis di Uni­versiti Awam (UA) adalah platform rakan kolaborasi dari aspek pencegahan jenayah serta berganding bahu dalam menjayakan inisiatif terbaru PDRM selain memperkasakan perkhidmatan masyarakat,” katanya selepas me­rasmikan kursus tersebut di sini baru-baru ini.

Sheikh Azhar berkata, pendedahan penggunaan baton menerusi kursus ini bertujuan memberi pengetahuan tentang pengendalian T-Baton di samping dapat menambahkan Ilmu kemahiran mempertahankan diri.

Katanya, kerjasama dengan APM dalam kemahiran pertolongan cemas membolehkan anggota Suksis memberi rawatan awal kepada mangsa-mangsa yang memerlukan bantuan sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau situasi di luar jangka.

Dalam pada itu, Sheikh Azhar turut mengajak anggota Suksis menjadi mata dan telinga PDRM dalam usaha mengekang permasalahan sosial dalam kalangan remaja termasuk di persekitaran warga kampus.

“Di sinilah tanggungjawab sukarelawan polis, Suksis khu­sus­nya dalam membantu PDRM dalam mengekang p­eningkatan kadar jenayah dengan menjadi mata dan telinga PDRM di pe­ringkat universiti mahu pun kediaman masing-masing,” kata Sheikh Azhar.