Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Perdagangan dan Jabatan Teknologi Maklumat Komunikasi.

Pengarah PSP, Zulkifli Ariffin berkata, sejak ditubuhkan 20 tahun lalu, sebanyak 30,000 gra­duan telah menamatkan pengajian mereka di politeknik itu dan kira-kira 90 peratus daripadanya telah menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta memasuki alam pekerjaan.

Menurutnya, para graduan ini juga membawa nama PSP ke seluruh pelosok negara sebagai alumni yang turut memainkan peranan untuk membantu pelajar yang masih berada di institusi itu.

“Majlis konvokesyen ini akan diadakan di Dewan Seri Mutiara PSP dan untuk hari pertama, graduan akan menerima diploma mereka daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

“Bagi sesi kedua pula, diploma akan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan bagi sesi ketiga, tetamu kehormat adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah Zulkifli, majlis itu turut akan dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr. Mohammad Naim Yaakob.

Jelasnya, majlis itu turut meraikan pekerja-pekerja syarikat Analog Devices Sdn. Bhd. yang menerima Diploma Profesional Mekatronik PSP-Analog Devices Sdn. Bhd. hasil kerjasama yang dijalankan sejak Mac 2016.

Selain itu, turut diraikan adalah penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Peringkat Jabatan, Anugerah Projek Terbaik, Anugerah Khas serta Anugerah kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Peringkat Politeknik.

“Kami juga mengadakan Pesta Konvokesyen selama empat hari bermula hari ini dengan menampilkan pelbagai aktiviti seperti tazkirah dhuha bertajuk Pengkisahan Seberang Perai, pertandingan mewarna kemerdekaan, demo masakan, persembahan seni silat gayong, pertandingan pakaian beragam kanak-kanak dan banyak lagi.

“Pada masa sama gerai-gerai jualan juga turut dibuka yang dikendalikan sendiri oleh pelajar-pelajar PSP yang menawarkan pelbagai produk daripada makanan, minuman, pakaian, perubatan dan banyak lagi,” ujarnya.

Zulkifli berkata, penglibatan alumni juga turut dimanfaatkan sepenuhnya menerusi aktiviti perkongsian pengalaman serta bimbingan kerjaya sebagai panduan kepada pelajar-pelajar PSP.

Orang ramai di sekitar Permatang Pauh turut dijemput bagi memeriahkan pesta itu dengan menyertai aktiviti yang dijalankan dan membeli produk yang dijual oleh pelajar.