Konsert tersebut adalah bersempena hari ulang tahun keputeraan baginda yang ke-68 serta sebagai tanda penghargaan dan sanjungan seluruh warga UKM kepada Tuanku Muhriz yang juga Canselor universiti itu.

Yang turut hadir Tunku Pang­lima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali dan barisan Pro-Canselor UKM.

Konsert Diraja UKM 2016 menggabungkan lebih 60 orang pemuzik profesional daripada Orkestra Kuala Lumpur (OKL) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mempersembahkan lagu-lagu gubahan semula oleh Felo Utama, Pusat Kebudayaan Universiti UKM dan tokoh muzik terkenal, Datuk Dr. Johari Salleh.

Acara diserikan lagi dengan persembahan khas oleh anakanda baginda, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz yang bergabung dengan kumpulan orkestra untuk mendendangkan lagu Jikalau Ku Tahu.

Dalam masa sama, penganjuran konsert itu juga merupakan satu usaha pihak universiti mempertingkat dan memartabatkan seni persembahan orkestra yang unggul dengan menerapkan daya apresiasi muzik secara ilmiah dan menggalakkan integrasi pemuzik.