Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, kolej itu berbeza dengan institusi kemahiran biasa kerana menyediakan pendidikan bersepadu de­ngan aspek spiritual seperti konsep Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

"Penubuhan kolej ini adalah kesinambungan daripada Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) yang sekarang ini menawarkan kursus tahap sijil, kita mungkin boleh buka lebih awal jika dapat royalti minyak.

"Kita sudah melakukan lawatan ke beberapa institusi kemahiran dalam dan juga luar negara seperti Thailand dan Indonesia untuk mencontohi amalan terbaik masing-masing," katanya selepas Majlis Graduasi Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Kali Ke-13 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, baru-baru ini.

Seramai 345 graduan dari 45 buah PPWK seluruh negeri menerima sijil kursus menjahit dalam majlis itu yang telah dirasmikan isteri Menteri Besar, Datin Siti Zabidah Abdul Hamid.

Sementara itu, Mumtaz berkata, kolej kemahiran wanita itu bakal menawarkan pengajian tahap diploma dalam bidang jahitan, sulaman, masakan dan kraf tangan.

Beliau berkata, kolej itu juga diharap dapat membantu melahirkan bakat dalam warisan kesenian negeri se­perti songket yang semakin ketandusan penggiat.

"Kita berharap untuk melahirkan sumber tenaga wanita yang Islamik, kita realistik kerana kita sudah ada pengalaman lama dengan PPWK dan mempunyai tenaga pengajar mahir yang ada jati diri untuk melaksa­nakannya," katanya.