Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa YPC, Datuk Dr. Noel Robert berkata, program baharu Bacelor Sains (kepujian) Keselamatan Komputer ini dijangka dimulakan pada September 2018 sebaik sahaja menerima kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Program francais kelima de­ngan LJMU ini menyediakan peluang untuk pelajar Malaysia menamatkan pengajian di peringkat ijazah daripada universiti UK di Kolej Antarabangsa YPC dengan penjimatan lebih banyak kos berbanding belajar di sana,” katanya dalam satu kenyataan menerusi e-mel baru-baru ini.

Kerjasama akademik antara Kolej Antarabangsa YPC dan LJMU yang tersenarai dalam kedudukan antara 200 universiti terbaik di UK bermula pada tahun 2005.

Ketika ini, Kolej Antarabangsa YPC menawarkan empat program francais LJMU iaitu Bacelor Sains (kepujian) Teknologi e-Perniagaan dan Pengurusan; Bacelor Sains (kepujian) Pengkomputeran Multimedia; Bacelor Sains (kepujian) Kewangan dan Perakaunan; dan Ijazah muda Pengurusan Perniagaan.

Program ini ditawarkan kerana permintaan dalam bidang kese­lamatan komputer dan siber semakin tinggi akibat peningkatan serangan siber selari dengan perkembangan pantas dunia digital masa kini.

Oleh itu, Kolej Antarabangsa YPC meneruskan fokus dalam melahirkan siswazah yang menepati dan memenuhi keperluan industri sekali gus me­nyumbang secara positif terhadap pembangunan modal insan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai program baharu ini, hubungi H’ng Li Fen menerusi e-mel [email protected]