Program dua hari itu dianjurkan oleh Unit Kokurikulum KMP Kuantan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan kerjasama Pejabat Parlimen Jerantut.

Penyelaras program, Ahmad Fadil Abd. Rahman berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan lebih meluas tentang kehidupan masyarakat Orang Asli kepada para peserta.

“Kami bersyukur kerana dapat bersama dengan penduduk Orang Asli yang membolehkan penuntut menyelami cara hidup masyarakat berkenaan.

“Program ini juga merupakan kegiatan luar bidang kokurikulum KMP untuk membina jati diri, keyakinan dan latihan kepemimpinan dalam kalangan penuntut menerusi aktiviti kemasyarakatan,” katanya selepas perasmian program itu yang disempurnakan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris di kampung tersebut.

Beliau berkata, usaha mengu­bah minda masyarakat berkenaan perlu lebih kerap dilakukan oleh orang luar khususnya dengan pera­nan yang dimainkan oleh penuntut institusi pengajian tinggi.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut ialah gotong-royong mengecat dan menceriakan balai raya, ziarah ke rumah serta program motivasi pelajaran untuk anak Orang Asli.

Sementara itu, seorang penuntut bidang Sains Modul Satu, Nurlina Atiqah Rusli, 19, teruja kerana pertama kali menjejak kaki ke perkampungan Orang Asli di situ dan menyifatkannya sebagai satu pengalaman berharga.

“Kehidupan sosial masyarakat Orang Asli di sini sudah nampak perubahan berasaskan kemudahan pelajaran yang diperoleh oleh anak mereka dan peluang pekerjaan dalam kalangan belia di sektor kilang serta pertanian kelapa sawit,” katanya.