Dekan Sekolah Perniagaan Siswazah Asia (Asia Graduate School Of Business) Unitar, Prof. Dr. Noor Raihan Ab. Hamid berkata, pendekatan yang diadakan itu melibatkan peranan pemimpin wanita yang menjawat jawatan tertinggi dalam pengurusan kerajaan atau swasta, malah pemimpin wanita dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, ahli korporat dan cendekiawan wanita.

“Persidangan ini membabitkan suara hati setiap segmen peranan wanita yang mewakili hasrat dan harapan wanita di Malaysia terutama pada peringkat akar umbi dalam memastikan kekuatan wanita sebagai tunggak utama kepimpinan negara, syarikat dan organisasai dapat diperkasa dan diperkukuh.

“Diharapkan menerusi perbincangan ini dapat memberi impak positif terhadap segala usul dan agenda yang ingin dibahaskan, sekali gus memperkasa kepentingan wanita di negara ini,” katanya.

Majlis perasmian persidangan meja bula itu akan dirasmikan oleh Naib Canselor Unitar, Prof. Dr. Arfah Salleh.

Noor Raihan berkata, persidangan tersebut akan memastikan resolusi peranan wanita diperkasa dengan lebih inklusif supaya memenuhi kehendak negara dalam membantu memperkasa wanita dalam sektor pengurusan.

Tambahnya lagi, persidangan itu antara lain akan menekankan usaha memperkukuh kekuatan wanita Malaysia yang setanding dengan lelaki.

“Kita juga akan menyentuh aspek lain seperti agenda memperkasa ekonomi wanita yang melibatkan dasar dan pelaksanaan, di samping pembangunan ekonomi dan urus tadbir yang diberi perhatian.

“Pelan tindakan khusus bagi memastikan program memperkasa kepimpinan wanita juga dapat dilaksanakan secara berkesan juga akan dibincangkan,” katanya.

“Dari segi pendidikan, keberkesanan pelaksanaan wanita dan penerapan dalam tugas yang mencabar turut menjadi inti pati perbincangan,” katanya.

“Persidangan meja bulat merupakan satu pendekatan yang mengambil kira pandangan daripada pelbagai golongan profesional wanita.

“Apa yang dibincangkan bersama nanti sudah pasti akan menjadi asas dan garis panduan dalam membentangkan usul yang lebih berkesan kepada pihak bertanggungjawab, khususnya berkaitan kepentingan ekonomi wanita.

“Menerusi persidangan ini membolehkan pelbagai aspek melibatkan kepentingan wanita dibangkitkan secara menyeluruh,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menyertai persidangan ini boleh menghubungi Sekretariat Komunikasi Korporat Unitar melalui talian 03-76277200 atau 012-2825124