Sebahagian mengambil kesempatan pergi melancong, melakukan sukan riadah dan berkumpul dengan sanak-saudara di majlis-majlis perkahwinan.Bagaimanapun, tidak kurang juga menunaikan tanggungjawab mengambil bahagian dalam acara berkhatan bagi anak lelaki mereka.

Baru-baru ini, Cyberjaya Universiti Medical Science (CUMS) dengan kerjasama pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta dan Pasukan Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) menganjurkan Program ‘Sunaton’ dan Bakti Siswa di Perkampungan Orang Asli Kampung Chadak dan Kampung Rancangan Perumahan Awam (RPA) Kampung Melayu Ulu Kinta, Perak.

Majlis itu telah dirasmikan oleh ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Hanafiah yang turut dihadiri, Timbalan Presiden Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (CUMS), Prof. Dr. Abdul Latif Mohamad.

Aminuddin berkata, program berkhatan beramai-ramai dan bakti siswa sempena cuti sekolah ini diadakan sebagai memenuhi tanggungjawab sosial dan tanda kasih kepada rakyat di daerah
 ini.

“Katanya, seramai 30 kanak-kanak Orang Asli berusia lima hingga 13 tahun menyertai program itu yang merupakan julung kali diadakan tahun ini.

“Ia juga sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk merapatkan hubungan pejabat ADUN dan agensi kerajaan bersama rakyat selain membuktikan sikap prihatin dengan tuntutan agama yang memerlukan kanak-kanak lelaki berkhatan sebelum melangkah ke alam remaja,” katanya ketika merasmikan program itu di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Ulu Kinta, Perak baru-baru ini

Sementara itu, Pengarah Programnya, Batrisyia Aiman Aminuddin berkata, program bakti siswa yang diadakan kali ini mempunyai kelainan apabila turut menganjurkan program ‘sunaton’ yang dikendalikan 
oleh doktor pakar dan pelajar CUMS.

“Program ini berjaya diadakan atas komitmen pelajar tahun satu CUMS yang turut serta menjayakan program khidmat masyarakat selama tiga hari dua malam ini.

“Selain program ‘sunaton’, pogram bakti siswa ini juga turut menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti pemeriksaan kesihatan, kempen menderma darah dan ceramah kesihatan kepada warga emas dan penduduk di kampung ini,” katanya.