Festival yang dianjurkan oleh Biro Pelajar Luar Negara UMNO Malaysia dengan kerjasama Badan Perhubungan Negara Indonesia itu merupakan landasan terbaik untuk menonjolkan budaya dan adat negara masing-masing menerusi aktiviti persembahan, kesukanan serta pameran yang diadakan.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, acara seperti ini dapat mengukuhkan integrasi sesama peserta dan penuntut yang terlibat dengan gabungan persembahan pelbagai warisan etnik dalam negara ASEAN.

“Selain memupuk semangat patriotisme, kita juga dapat mempelajari keindahan serta keunikan seni dan budaya dalam dan luar negara dalam satu wadah pendekatan dan apresiasi seni ASEAN.

“Program ini turut memberi ruang kepada generasi muda ASEAN hari ini untuk memahami kepentingan perkongsian antara negara yang merupakan kaedah terbaik membina bangsa.” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohammed Hashim.

Reezal yang juga Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara UMNO Malaysia berkata, dalam mendepani arus globalisasi, generasi muda ASEAN perlu tahu asal usul kebudayaan ASEAN kerana ia penting bagi membina negara bangsa yang lebih mantap pada masa depan.

Katanya, usaha memperkasa hubungan kerjasama ASEAN diyakini mampu memberi impak positif kepada perkembangan hubungan kerjasama di rantau Asia Tenggara khususnya Malaysia.

“Hubungan persahabatan dan kerjasama antara negara ASEAN telah bergerak dengan cepat dalam pelbagai bidang sains dan teknologi.

“Kita berkongsi aspirasi bersama bahawa negara-ASEAN akan terus menjalin kerjasama rapat untuk meningkatkan lagi hubungan persahabatan, kerjasama dan bantuan dalam rangka kerja bagi peringkat rantau dan antarabangsa,” katanya.