Siswazah Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dalam bidang sistem maklumat itu turut mengakui dia bukan pelajar cemerlang dan agak nakal ketika di bangku sekolah, walaupun tidak dapat berjalan seperti orang lain kerana mengalami masalah lemah otot kaki sejak lahir.

Namun, kecekalan bapa dan ibunya mendidik, telah membantu pelajar kurang upaya itu berdikari dan kini sedang berusaha untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana bagi mencapai cita-cita menjadi seorang pensyarah.

“Sejak kecil, saya sering berkerusi roda atau bertongkat untuk bergerak dan agak lemah dalam pelajaran tetapi sama sahaja nakal malah lebih aktif daripada kanak-kanak lain. Kerana itulah ayah memang garang dan tidak selalu `bagi muka’ dengan saya.

“Namun, saya tahu ayah memang sayangkan saya dan banyak bantu sediakan segala kemudahan untuk pastikan saya dapat masuk universiti sambung pengajian peringkat ijazah selepas tamat tingkatan enam. Alhamdulillah saya berjaya. Memang berbaloilah dirotan ayah dulu, jika tidak mungkin tidak mampu sampai ke tahap ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad Arif Aiman merupakan salah seorang daripada 1,700 pelajar yang hadir menerima ijazah dan diploma masing-ma­sing pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-18 yang berlangsung dua hari bermula semalam.

Turut berkongsi kegembiraan ialah Lee Derk Huan yang berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, menerusi keputusan cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.0.

Sama seperti Muhammad Arif Aiman, kejayaan Derk Huan sebagai salah seorang penerima Anugerah Naib Canselor turut didorong bapanya yang juga seorang jurutera.

“Bukan mudah untuk mengekalkan prestasi pada setiap semester tetapi saya berusaha untuk sentiasa memberikan fokus ketika di dalam kelas dan amat gembira menamatkan pengajian bersama kejayaan ini.

“Kata-kata ayah supaya sentiasa menjadi diri sendiri dan berusaha mengikut kemampuan diri menjadi pegangan yang telah banyak membantu saya mengatur masa depan untuk menjadi jurutera sama seperti ayah,” katanya.

Seorang lagi penerima Anugerah Naib Canselor, S. Shamini pula ingin mendedikasikan kejayaannya kepada bapanya yang telah membantu menanggung yuran pengajiannya walaupun hanya bekerja sebagai pemandu lori.

Pelajar jurusan Kewangan itu berjaya mendapat PNGK 3.75 dalam pengajiannya di peringkat diploma.

“Saya bersetuju untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah semester depan atas permintaan ayah dan sebagai anak sulung, saya akan berusaha mencapai kejayaan serupa bagi membalas pengorbanannya ini,” katanya.