Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Keseimbangan akademik, kerohanian

Dr. Arfah Salleh 2
Dr. Arfah Salleh

FITRAH manusia ialah menjadi hamba kepada pencipta alam ini. Berasaskan kepada fitrah itu, maka umat manusia perlu membentuk jati diri berasaskan keimanan.

Perjalanan dunia kini hanya berdasarkan perundangan dan peraturan semata-mata. Sebaliknya ilmu dan pendidikan yang sempurna berperanan penting dalam pembentukan jati diri melalui penghayatan makna insan.

Ciptaan pencipta adalah terlalu unik dan pelbagai. Ia bertujuan memudahkan manusia mengendalikan urusan hidup secara terurus bagi membangunkan diri dan keluarga.

Manusia mempunyai perbezaan dalam akal fikiran, perasaan dan cita rasa. Kepelbagaian ini menyebabkan manusia mempunyai perbezaan corak kehidupan dan minat.

Perbezaan dan kepelbagaian ini merupakan perancangan Ilahi. Oleh itu, setiap manusia sepatutnya memahami bahawa mereka akan menjadi yang paling baik jika mereka dididik dan diasuh berasaskan kepada fitrah manusia yang diciptakan.

Hari ini, manusia dididik bukan sekadar hebat dalam aspek akademik tetapi juga hendaklah diseimbangkan dengan kekuatan dalaman khususnya aspek kerohanian.

Justeru itu, Naib Canselor Unitar International University, (Unitar), Prof. Dr. Arfah Salleh berpendapat, amat malang jika seseorang manusia seperti pelajar itu bijak tetapi kurang jati diri dan tidak memahami makna insan.

“Kita perlu menyeimbangkan pendidikan iaitu cemerlang dalam akademik dan cemerlang juga dalam aspek kerohanian.

“Pelajar perlu mengenali diri mereka, tahu berkaitan kekuatan dan kecenderungan diri ke arah melakukan yang kurang baik supaya kelak mereka berupaya menjauhi keburukan,” katanya.

Tambahnya, setiap pelajar mempunyai potensi dan kebolehan tertentu. Potensi itu jika dipupuk dan diasuh sebaik mungkin dengan penerapan pemahaman makna insan, akan menzahirkan keupayaan menguasai pelbagai kepakaran dan jati diri.

Katanya, kadang-kadang pelajar sering membuat kesilapan dalam pentafsiran kebijaksanaan. Pencapaian akademik dalam bentuk kecemerlangan sewaktu peperiksaan sering ditafsirkan sebagai kebijaksanaan namun kejayaan itu tidak dilengkapi dengan pembangunan kerohanian insan yang seimbang.

“Sedangkan tidak semua manusia yang dicipta itu mempunyai potensi yang sama. Ibu bapa dan pensyarah dapat memahami bakat dengan melihat cara mereka berfikir, bertindak dan berbicara. Gelagat dan tingkah laku mereka perlu diteliti dan dikaji supaya potensi yang dimiliki oleh pelajar diperkembang mengikut fitrah mereka diciptakan,” katanya.

Dr. Arfah berkata, penilaian kebolehan pelajar perlu dilihat secara keseluruhan bukan hanya menekankan sesuatu bidang sahaja.

Tindakan begini boleh membantutkan usaha pelajar untuk menzahirkan potensi dan kepakaran yang dianugerahkan kepada mereka.

“Kesilapan dalam memberi penekanan hanya kepada ilmu tanpa amal dan kejayaan luaran tanpa kerohanian merupakan faktor utama yang menyebabkan negara menghadapi krisis pengangguran.

“Oleh itu, sistem pendidikan perlu berasaskan kepada dua aspek utama iaitu mendidik pelajar memahami kehendak rohani dan fizikal. Pendidikan rohani secara teori dan praktikal membolehkan pelajar mengimbangkan emosi dan pemikiran mereka apabila berada dalam kegelisahan, kekecewaan dan penderitaan.

“Mereka tidak akan menjadi liar dan melakukan sesuatu yang boleh membahayakan diri sendiri dan masyarakat.

“Pendidikan kerohanian pula boleh membentuk pelajar menjadi mantap dan kental dalam mempertahan prinsip hidup sebagai orang yang beriman dan mulia,”katanya.

Katanya, adalah malang jika universiti menjadi kilang hanya mengeluarkan pelajar tetapi hasil yang dikeluarkan itu gagal diketengahkan dalam pelbagai hal.

“Satu aspek yang perlu kita ingat ialah keperluan jati diri ini agar mereka tidak tersasar dalam kehidupan.

“Kita perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang bermakna kepada pelajar supaya mereka boleh menghidupkan peranan sebagai insan seimbang agar mempunyai wawasan, semangat jati diri yang kuat serta hebat.

“Oleh itu, keseimbangan dalam pendidikan iaitu akademik dan kerohanian ini tidak boleh diabaikan, malahan perlu bergerak seiring demi melihat insan yang dilahirkan kelak menjadi pemacu kejayaan sebuah negara,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain