Langkah tersebut sejajar dengan Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam melahirkan the thinking athletes (atlet yang berfikir), sekali gus dapat mempertingkat kebolehpasaran pelajar.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz berkata, menerusi program pertukaran pemain itu, pengalaman pemain dapat pada peringkat antarabangsa serta kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris dapat dipertingkat.

“Program berkenaan boleh mencipta peluang pekerjaan dan pendidikan di Scotland,” katanya ketika ditemui di Putrajaya selepas menghadiri Majlis Makan Malam bersama MSP-UHC 2017 baru-baru ini.

Sebanyak 24 pemain UHC diraikan dengan menaiki cruise sekitar Tasik Putrajaya bersempena dengan program Jelajah Malaysia pada 16 hingga 19 Oktober lalu.

Pada program jelajah itu, UHC telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan hoki tempatan di beberapa negeri termasuk Melaka, Perak dan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Mohd. Ismail berkata, program sukarelawan pemain hoki politeknik ke Scotland pula bertujuan untuk menawarkan khidmat kejurulatihan berunsur khidmat masyarakat kepada masyarakat serta kanak-kanak negara tersebut.

Katanya, program latihan selama dua bulan itu dapat memberi pendedahan kepada peserta untuk menjalankan latihan pengurusan sukan kelab profesional antarabangsa.

“Dalam pada itu, lawatan UHC ke Malaysia yang dianjurkan MSP pula dilihat dapat mempertingkat kemahiran dan prestasi pemain hoki di bawah 16 tahun UHC.

“Program itu turut melaksanakan program latihan khidmat masyarakat kepada pasukan di bawah 14 tahun hoki Melaka,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MSP, Amin Mahat berkata, kerjasama itu dapat membantu kedua-dua pihak saling mempelajari aspek sosial dan komuniti Malaysia dan Scotland selain menjadi platform perkongsian pengetahuan mengenai sukan berkenaan.

“Kerjasama ini penting memandangkan wujudnya kemahuan kedua-dua pihak untuk mempertingkat kualiti dan pengalaman pemain serta kakitangan masing-masing.

“Ini sekali gus akan memperbaiki mutu permainan liga domestik satu sama lain,” katanya.

Tambahnya, pengalaman yang diperoleh daripada program tersebut diharap dapat menyumbang kepada pemilihan pemain dalam program-program peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, program itu juga diharap dapat melonjakkan prestasi pemain serta membantu pemain dan kakitangan mencapai potensi penuh dalam sukan hoki.

“Ini juga memberi peluang kepada pelajar berlatar belakang sukan hoki yang sedang mempelajari bidang kejuruteraan mekanikal dan elektrik untuk mendapatkan pengalaman kerja di Scotland.

“Ini kerana UHC rapat dengan syarikat pembinaan yang mana pelajar boleh ditempatkan.

“Semasa mereka mendapat pengalaman bekerja, mereka juga boleh bermain hoki untuk UHC,” katanya.

Pelajar dan kakitangan dari Majlis Sukan Politeknik yang menyertai program pertukaran pemain dengan Kelab Hoki Uddingston (UHC) pada Ogos dan Disember akan mempelajari:

Latihan dan pengalaman perlawanan.

Khidmat masyarakat mengajar dan melatih hoki untuk kanak-kanak di Scotland.

Berkongsi pengetahuan mengenai pengurusan kelab hoki.