Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, MoU yang ditandatangani dengan CCM Polymers itu adalah platform terbaik bagi meningkatkan ekosistem dalam bidang kajian dan penyelidikan (R&D), pembangunan dan pengkomersialan teknologi produk sarung tangan dan penjagaan kesihatan.

“Kerjasama ini melibatkan penyelidikan polimer untuk pembangunan produk baharu serta pengkomersialan produk yang boleh digunakan untuk industri penjagaan kesihatan dan sarung tangan mengikut keperluan industri.

“Diharap dengan kerjasama ini juga dapat meningkatkan perkongsian sumber dan kemudahan di UMT dan CCM dalam menjalankan kajian dan penyelidikan secara bersama,” katanya.

MoU berkenaan ditandatangani Nor Aieni dan Pengarah Urusan Kumpulan CCM Polymers Sdn. Bhd, Nik Fazila Mohamed Shihabuddin sambil disaksikan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Mohammad Fadhli Ahmad dan Dr. Khew Mei Ching.

Sementara itu, Nor Aieni berkata, hasil kesepakatan ini, UMT dan CCM Polymers mempunyai misi iaitu menghasilkan produk R&D yang bertaraf antarabangsa.

Untuk tujuan itu, UMT kini melakukan pembaharuan iaitu membina konsep R&D secara berkelompok.

“Jika dahulu seorang atau dua penyelidik melakukan kerja bersendirian, kini mereka digalakkan melakukannya secara berkelompok.

“Menerusi konsep itu, penyelidik akan berkongsi peralatan, makmal dan mungkin juga kepakaran. Ini lebih menjimatkan masa, tenaga dan wang,” katanya.