Mou tersebut ditandatangani antara Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Prof. Datuk Dr. Rosli Mohd. Yunus dan Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan Jabatan Penjara, Nordin Muhamad di UMP Kampus Pekan, di sini hari ini.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, menerusi kerjasama berkenaan, Pusat Keusahawanan dan Fakulti Pengurusan Industri universiti tersebut akan menerajui pemasaran produk MyPride bersama Jabatan Penjara de­ngan mewujudkan portal jualan produk dalam talian, Moh Beli yang dibangunkan UMP Holdings Bhd. dan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi UMP.

“Perkongsian pintar ini juga memberi pendedahan kepada mahasiswa UMP dan masyarakat mengenai program pemulihan dan latihan kemahiran yang dijalankan selain membuka laluan kerjaya serta kebolehpasaran bekas penghuni mendapatkan pekerjaan.

“Bagi menjayakan kerjasama ini, UMP mengenal pasti satu lot perniagaan di premis Kolej Kediaman 4 di Kampus Gambang untuk dijadikan sebuah pusat jualan produk yang memasarkan produk hasil kerja banduan.

“Pada peringkat permulaan, kita akan menjual produk kraftangan, batik, songket dan makanan,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU tersebut yang mana teks ucapan beliau dibacakan oleh Rosli.

Menurut Daing Nasir, UMP berupaya memberi manfaat kepada masyarakat melalui khidmat kepakaran intelektual dan penyelidikannya.

Kata beliau, program keusahawanan berkenaan melibatkan penyertaan mahasiswa UMP terpilih yang mana mereka bukan sahaja menerima pendedahan praktikal tentang teknik pencarian solusi bisnes tetapi berpeluang menimba pengalaman aspek pemasaran, strategi penjualan, pengurusan inventori, rekod kewangan, khidmat pelanggan dan lain-lain.

Tambahnya, kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada usaha UMP dalam merealisasikan Pelan Strategik UMP 2016-2020 bertemakan Memasyarakatkan Teknologi merangkumi aspek teknologi yang lebih meluas.

“Walaupun penggunaan media sosial seperti Instagram, Facebook dan WhatsApp kini merupakan medium terbaik untuk perniagaan, namun tanpa strategi pemasaran dan penjenamaan yang bijak dan beretika, produk yang berkualiti tinggi belum tentu mendapat tempat di hati pembeli,” katanya.

Sementara itu, Nordin berharap kerjasama yang terjalin itu dapat meningkatkan program pemulihan yang dilaksanakan Jabatan Penjara dan pada masa sama memberi peluang kepada penghuni penjara meningkatkan pengetahuan serta kualiti produk.