Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pendidikan dalam bidang keusahawanan amat penting di Indonesia kerana negara itu mempunyai prospek tinggi dalam bidang perniagaan, pertanian dan kejuruteraan.

“Ilmuwan dan usahawan Indonesia serta Malaysia sewajarnya bersatu memikirkan usaha terbaik untuk memanfaatkan pasaran kedua-dua negara yang amat luas lebih-lebih lagi faktor Indonesia dengan kepadatan penduduk lebih 240 juta orang.

“Potensi besar dapat dilihat dalam program penyelidikan dan pertukaran tenaga pengajar serta latihan industri dari Indonesia menerusi kerjasama yang dijalin antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan universiti-universiti di Indonesia,” katanya dalam program bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) @Fakulti Program bersama pelajar Malaysia di Titanium Square, Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Program itu menampilkan Pengerusi Kumpulan Proven Malaysia (PGC), Datuk Yusof Jusoh.

PGC merupakan satu-satunya syarikat Malaysia yang terlibat dalam bidang pembinaan di Jakarta. Projek pertama syarikat itu melibatkan pembangunan pusat beli belah Titanium Square dan pangsapuri di Tangerang.

Sementara itu Yusof berkata, sudah menjadi tanggungjawab baginya sebagai seorang pemimpin korporat untuk memberi semula kepada masyarakat terutama kepada golongan pelajar.

“Saya memang meminati perkara seumpama ini. Saya ingin berkongsi kepada mereka tip dan nasihat untuk maju dalam sesebuah perniagaan.

“Saya berkongsi pandangan kepada mereka tentang bagaimana saya dapat sampai sehingga ke tahap ini. Saya menumpukan kepada topik keusahawanan dalam syarahan saya terutama melibatkan perkongsian kejayaan dalam perniagaan,” katanya.