Menteri Pengajian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, negara ini yang terkenal dengan program pendidikan yang diiktiraf, yuran pengajian berpatutan dan kos hidup yang tidak terlalu tinggi, selain wujudnya penerbangan terus menjadikan negara ini destinasi pendidikan yang sangat ideal untuk pelajar Kazakhstan.

“Ini menjadikan Malaysia pilihan tepat untuk satu hubungan kolaborasi yang erat antara kedua-dua negara dalam menghadapi industri global yang semakin moden ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama “Pembangunan Bakat Untuk Revolusi Industri 4.0” dan merasmikan Bengkel Pendidikan Malaysia-Kazakhstan 2017 anjuran Education Malaysia Global Services (EMGS), di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sesi bengkel kali ini merupakan sesi Perniagaan Kepada Perniagaan yang melibatkan 20 ejen pendidikan pengajian tinggi tempatan dengan kumpulan delegasi dari Kazakhstan bagi mempromosikan kemasukan pelajar dari negara benua Asia Tengah itu ke Malaysia.

Yang turut hadir, Duta Kazakhstan ke Malaysia, Daniyar Sarekenov; Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Datuk Prof. Dr. Rujhan Mustafa dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Noorul Ainur Mohd. Nur.

Idris berkata, sehingga kini, terdapat 134,281 orang pelajar asing dari 170 buah negara dari seluruh dunia yang memilih Malaysia sebagai destinasi untuk menyambung pengajian tinggi.

“Ini satu angka yang agak tinggi kerana faktor-faktor tarikan lain termasuklah hanya 14 hari untuk memproses visa,” kata beliau.

Menurutnya, mengikut Kajian QS Best Students Cities Survey 2013/2014, 2015/2016, 2016/2017, Kuala Lumpur mendapat undian tertinggi sebagai bandar yang paling berpatutan sebagai Bandar Pelajar Dunia selama tiga tahun berturut-turut.

Selain itu, kata beliau, terdapat sembilan kampus cawangan universiti terkenal dunia di negara ini seperti Universiti Herriot Watt, Universiti Curtin, Universiti Southampton, Universiti Monash, Universiti Nottingham, Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Reading dan Universiti Xiamen.

“Semua ini dan banyak lagi daya tarikan lain termasuk Malaysia negara kedua paling tinggi penggunaan bahasa Inggeris di Asia, menjadikan Malaysia hab pendidikan antarabangsa bagi semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Rujhan berkata, sejak empat tahun lalu, sebanyak 5,000 pelajar dari Kazakhstan telah mengikuti dan tamat pengajian tinggi mereka di negara ini.

“Sebanyak 1,142 pelajar Kazakhstan masih lagi belajar di sini dan kita mahu menerusi hubungan baik antara kedua-dua negara, lebih ramai lagi pelajar Kazakhstan akan menjadikan Malaysia sebagai negara kedua mereka untuk tujuan pendidikan dan pelancongan,” katanya.