Keindahan flora dan fauna serta iringan irama desiran pasir Sungai Tembeling yang kaya dengan hidupan ikan air tawarnya seperti kelah, jelawat dan patin mengundang kehadiran mereka untuk mencurahkan bakti kepada penduduk kampung.

Ulu Tembeling merangkumi lima kampung besar iaitu Kampung Bukit Mat Daling, Kampung Bantal, Kampung Gusai, Kampung Kuala Sat dan Kampung Pagi mempunyai sejarahnya tersendiri iaitu Jejak Mat Kilau malah Sungai Tembeling juga telah tercatat dalam sejarah beratus-ratus tahun lalu sebagai laluan utama dari Kuala Tahan ke Hulu Terengganu.

Sehingga kini, Sungai Tembeling merupakan nadi pengangkutan utama penduduk sekitar Ulu Tembeling untuk ke bandar seperti Kuala Tahan dan ke kampung-kampung lain. Selain laluan air, laluan darat juga boleh dilalui cuma laluannya masih dalam proses pembinaan dan hanya boleh dilalui dengan kenderaan pacuan empat roda sahaja.

Program yang dinamakan [email protected] Kembara 4x4 Pahang 2017 itu diadakan selama tiga hari dua malam itu merupakan anjuran Kelab Sekreteriat [email protected] dengan kerjasama sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan iaitu Four Wheeler For Charity (4W4C).

Pengarah program, Nur Aina Madia Md. Adnan, 22, berkata, program khidmat masyarakat yang pertama dianjurkan oleh kelab yang ditubuhkan sejak 2003 itu mendapat 4W4C yang menyediakan 22 buah kenderaan pacuan empat roda bagi membawa pelajar terlibat.

“Ini adalah program ke 37 anjuran kelab Sekreteriat [email protected], tetapi kali ini kami membawa kelainan iaitu memasuki perkampungan pedalaman yang sukar dilalui dengan kenderaan biasa dan selain mengadakan aktiviti di sekolah, kami juga menyampaikan sumbangan kepada warga emas, penduduk berpendapatan rendah dan orang kelainan upaya.

“Kami membahagikan kepada tiga kumpulan pelajar untuk melakukan aktiviti di tiga buah sekolah iaitu di Sekolah Kebangsaan Mat Daling, Sekolah Kebangsaan Kuala Sat dan Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling di Kampung Bantal.

Katanya lagi, SK. Kuala Sat dan SK. Ulu Tembeling memerlukan pelajar keluar dari Kampung Mat Daling dengan menaiki kenderaan 4x4 sejauh enam hingga 12 kilometer dengan keadaan jalan yang teruk, manakala ke SK Ulu Tembeling pula, pelajar terpaksa menaiki bot bagi menyeberangi sungai Tembeling di Kampung Bantal.

“Diketiga-tiga sekolah ini, kami menganjurkan aktiviti mengecat pagar sekolah, melakar dinding dan mengadakan aktiviti dalam kelas untuk murid-murid tahun empat, lima dan enam selain menyerahkan bantuan barangan keperluan harian serta kerusi roda kepada penduduk yang memerlukan.

Pada akhir program ini, menurut Aina, satu majlis ringkas diadakan iaitu majlis penyampaian sumbangan kepada murid-murid sekolah, penduduk setempat dan kenduri kesyukuran bersama penduduk Kampung Mat Daling.

“Di pekarangan Masjid Mat Daling pula, pelajar bersama penduduk kampung bergotong royong memasak untuk kenduri kesyukuran, mereka sama-sama mengukur kelapa, memotong sayur dan ayam serta memasak menggunakan kayu api yang mana suasana seperti itu jarang sekali dirasai pelajar.

“Kami merasa amat bertuah sekali apabila dapat merasai sendiri suasana kampung dengan penduduknya yang ramah, walaupun banyak kekurangan kemudahan asas di kampung tersebut namun kami mendapat layanan yang istimewa sekali dan pastinya kepulangan kami ke kampus nanti akan membawa seribu kenangan,” katanya.

4W4C bawa sumbangan orang ramai

Four Wheeler For Charity (4W4C) ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menjalankan misi kemanusiaan menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk bagi membantu masyarakat di luar bandar.

Setiausahanya, Syamsul Syamim Matli berkata, dengan menjalankan kerjasama dengan Kelab Sekreteriat [email protected], kami 4W4C membawa sumbangan orang ramai iaitu keperluan barangan harian seperti gula, beras, tepung dan makanan ringan.

“Dengan kerjasama Kelab Trekker X Venture, sebanyak 700 kampit beras dibawa masuk dengan kenderaan pacuan empat roda untuk diagihkan kepada penduduk Kampung Mat Daling, Kampung Kuala Sat dan Kampung Bantal.

Sementara itu, pelajar, Nureen Hamka, 22, pengalaman pertama kali menaiki kenderaan pacuan empat roda tidak akan hilang daripada ingatannya kerana trajedi kenderaan hampir terbabas ketika mendaki sebuah bukit dalam hujan renyai amat mencemaskan peserta misi.

“Allhamdulillah, dengan kepakaran pemandu yang mengawal kenderaan tersebut, akhirnya kenderaan 4x4 tersebut berjaya merentasi halangan berbukit tersebut.

Menurut Nureen, selain pengalaman menaiki kenderaan 4x4 ini, beliau bersama rakan-rakan lain terasa teruja dengan keramahan penduduk yang menerima kehadiran kumpulan ini.

“Kehadiran kami disambut dengan hati terbuka penduduk di sini malah kami berpeluang mencurahkan bakti kepada adik-adik dengan menganjurkan kelas bahasa Inggeris.

Bagi Muhammad Syawal Nasarudin, 22, dari jurusan Kejuruteraan Elektronik, MMU kampus Cyberjaya ini pula berkata, beliau melihat jurang perbezaan di sekolah di sini amat ketara dengan sekolah di luar sana.

“Saya melihat kelainan murid-murid sekolah di sini yang sentiasa berada di sekolah sama ada untuk belajar, bermain dan bergaul sesama mereka, ia seperti sebuah pusat aktiviti harian.

Manakala bagi pelajar jurusan Kejuruteraan Komunikasi MMU Kampus Cyberjaya, Muhamad Sharizam Mohd. Yusri, 24, berkata, banyak usaha perlu dilakukan oleh Kelab Sekreteriat [email protected] bagi meneruskan misi pada masa depan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pengarah kelab berkata, program selepas ini akan memberi tumpuan kepada sekolah di luar bandar.

“Di sekolah pedalaman ini, kami melihat sendiri kekurangan dan kelebihan yang ada berbanding sekolah di bandar, ia secara tidak langsung membentuk jati diri kami agar lebih bersyukur dengan kemudahan yang ada,” katanya.