Jika dahulu penubuhannya lebih menjurus kepada pemberian pinjaman pendidikan untuk memastikan lebih ramai pelajar mampu menyambung pengajian ke menara gading, tetapi kini PTPTN turut me­numpukan perhatian terhadap amalan menabung bagi tujuan pendidikan tinggi.

Tidak dinafikan, untuk me­ngajak masyarakat membuda­yakan amalan menabung bu­­kanlah satu perkara yang mudah. Oleh itu, PTPTN menawarkan skim yang memberi pelbagai manfaat sebagai timbal balik kepada simpanan yang dibuat oleh ibu bapa. Skim yang ditawarkan adalah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dan terbaharu, SSPN-i Plus.

Antara insentif menarik menyimpan di dalam SSPN-i atau SSPN-i Plus adalah laluan untuk mendapatkan pelepasan taksiran cukai pendapatan setiap tahun.

Pengurus Besar Kanan, Ja­batan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop berkata, inilah ins­trumen simpanan terbaik yang wajar dipilih oleh ibu bapa yang diberi pelepasan taksiran cukai pendapatan, cuma mereka perlu menabung sebelum 31 Disember 2017.

“Bagi SSPN-i, pendeposit mendapat pelepasan taksiran cu­kai pendapatan sehingga RM6,000 setahun, manakala SSPN-i Plus memberikan pelepasan sehingga RM12,000 setahun, hasil gabu­ngan akaun simpanan dan sumbangan ta­kaful serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja­ (KWSP).

“Jika ibu bapa membuat taksiran cukai pendapatan secara berasi­ngan dan masing-masing turut membuka akaun SSPN-i untuk anak yang sama, maka setiap seorang berhak mendapat pe­lepasan taksiran cukai sehingga RM6,000 setahun. Itulah kelebihan menabung melalui SSPN-i,” katanya.

Bagaimanapun, kata Abdul Ghaffar, sekiranya pendeposit mempunyai kedua-dua akaun iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus, pelepasan taksiran cukai tetap maksimum RM6,000 dan kiraan dilakukan dengan mengabungkan simpanan yang ada di dalam kedua-dua akaun tersebut.

Tambah beliau, sekiranya pendeposit mendapat pelepasan taksiran cukai yang maksimum, ditambah dengan pemberian anggaran dividen yang maksimum, bermakna mereka telah mendapat keuntungan yang banyak.

Katanya, bagi menggalakkan lebih ramai menabung dalam SSPN-i dan SSPN-i Plus, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2018, turut mengumumkan bahawa pelepasan taksiran cukai pendapatan individu sehingga RM6,000 ini akan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2020.

“Sebenarnya, insentif ini jugalah yang membuatkan orang ramai mengambil peluang menabung dalam SSPN-i, dan selalunya mereka memilih saat-saat akhir untuk membuat simpanan.

Buktinya, pada bulan Disember tahun lalu sahaja seramai 277 juta orang telah membuat penabungan dalam SSPN-i berbanding 10 hingga 20 juta pada bulan-bulan sebelumnya.

“Tetapi, sebaik-baiknya me­na­bunglah secara konsisten dan jangan menunggu saat-saat akhir kerana tabungan yang dilakukan ini adalah untuk masa depan pendidikan anak-anak,” ujar Abdul Ghaffar.

Beliau berkata, untuk memudahkan masyarakat membuat simpanan atau menambah deposit, PTPTN telah membuka 67 buah pejabat dan cawangan PTPTN di seluruh negara termasuk pembukaan kaunternya di tempat-tempat awam se­perti pasar raya, pusat beli-belah dan beberapa cawangan di Pusat Transformasi Bandar (UTC). Malah, PTPTN juga membuka kaunter di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) yang berfungsi 24 jam.

Selain itu, katanya, pendepo­sit yang membuka akaun SSPN-i ataupun SSPN-i Plus turut berpeluang memenangi hadiah Cabutan WOW! yang menawarkan hadiah-hadiah menarik.

Ketika ini, PTPTN menyediakan cabutan hadiah kepada pendeposit yang membuka atau menambah akaun dalam SSPN-i atau SSPN-i Plus menerusi Ca­butan WOW! 20 Tahun PTPTN.

“Tetapi, Cabutan Bulanan dengan hadiah sebanyak RM10,000 akan berakhir pada 31 Disember 2017 dan mereka yang membuka akaun SSPN-i atau SSPN-Plus akan berpeluang memenangi hadiah tersebut selain menikmati pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM12,000,” katanya.

Jelas beliau, sebagai menghargai pelanggan setia PTPTN, pihaknya juga bercadang meneruskan cabutan tersebut pada tahun depan dan me­rancang mengadakan cabutan setiap bulan, secara suku tahunan dan tahunan.

Kini, katanya, membuka akaun atau menambah simpanan SSPN-i atau SSPN-i Plus semakin mudah kerana ia boleh dilakukan secara online melalui www.lovesspn.com.

Beliau berkata, SSPN-i Plus kini adalah satu produk yang semakin diminati terutama mereka yang inginkan produk simpanan yang mempunyai perlindungan takaful.

Jelasnya, ketika mula dilancarkan pada 2015, ia hanya mempunyai 5,234 pendeposit tetapi sehingga November lalu terdapat 108,000 pendeposit.

“Untuk menggalakkan dan memudahkan masyarakat menabung walaupun dengan RM1 sehari, PTPTN memperkenalkan ‘Rahsia RM1 Sehari’ iaitu satu pakej baharu yang diwujudkan sebagai penambahan kepada pakej sedia ada dalam SSPN-i Plus.

“Jadi, orang ramai boleh membuat tabungan RM1 sehari dengan memilih pakej Intan yang juga menawarkan simpanan pendidikan dengan perlindungan takaful sehingga RM40,000.

“Lebih-lebih lagi bagi ibu bapa muda yang anaknya masih kecil, inilah simpanan terbaik kerana dengan komitmen bulanan serendah RM30, mereka akan mempunyai akaun simpanan dan perlindungan takaful untuk diri dan simpanan anak-anak mereka,” ujarnya.

Pelepasan taksiran 
cukai pendapatan 
ke atas simpanan 
SSPN-i/SSPN-i Plus

l Taksiran berasingan
pelepasan taksiran cukai sehingga maksimum RM6,000 seorang setahun tertakluk kepada jumlah simpanan bersih tahun semasa;

l Taksiran bersama pelepasan taksiran cukai sehingga maksimum RM6,000 setahun

l Bagi pendeposit SSPN-i Plus, mendapat had maksimum pelepasan taksiran cukai pendapatan bagi simpanan dan sumbangan takaful sebanyak RM12,000 iaitu maksimum RM6,000 untuk jumlah simpanan bersih akaun SSPN-i dan maksimum RM6,000 untuk sumbangan takaful dan KWSP.

l Individu yang menyimpan untuk diri sendiri tidak diberi pelepasan taksiran cukai

SSPN-i sehingga 30 November 2017 mempunyai kira-kira

3.0 juta pendeposit

Jumlah deposit

RM2.98 bilion

SSPN-i Plus sehingga 30 November 2017 mempunyai

164,673 akaun

Jumlah deposit 
RM76.3 juta

Perlindungan takaful
RM7.49 bilion