HELO KAMPUS: Apakah usaha-usaha UTHM dalam memperkasakan bidang kejuruteraan berteknologi tinggi?

Dr. WAHID: Bila menyebut UTHM, umum biasanya mengaitkan dalam bidang kejuruteraan. potensi pembangunan kejuruteraan konvensional UTHM melibatkan empat bidang iaitu kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik, kejuruteraan mekanikal dan kejuruteraan komputer.

Bagi meningkatkan taraf pengajaran dan pembelajaran bidang konvensional tersebut, universiti menyasarkan tenaga akademik pada tahun ini agar lebih multipurpose dan flexible dengan subjek akademik yang ditawarkan di peringkat pengajian diploma dan ijazah bagi meningkatkan mutu penyampaian dalam kalangan pensyarah.

Selain itu, universiti turut memperkasakan hasil penyelidikan melalui kerjasama dengan industri. Hari ini kumpulan penyelidikan UTHM berjaya membangunkan 68 projek di bawah Public Private Research Network. Ini membuktikan penyelidikan UTHM diiktiraf di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pemain industri.

Aspirasi UTHM ialah melahirkan siswazah jurutera profesional berlandaskan paradigma tauhid. Boleh Dr. jelaskan?

Bagi melahirkan pelajar yang dinamik dan berkualiti, UTHM mengambil langkah memperkasakan kemahiran insaniah pelajar berlandaskan paradigma tauhid iaitu melalui program berbentuk latihan, kursus dan bengkel serta penganjuran aktiviti yang bersifat kemasyarakatan.

Program itu bagi meningkatkan keupayaan pelajar bersama komuniti masyarakat selain memberi kebebasan pelajar untuk memilih bidang pengajian masing-masing selaras dengan kehendak dan minat. Bagi membuka ruang dan pilihan yang lebih kepada pelajar, UTHM memperkenalkan dua program baharunya iaitu Aeronautik melalui Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan serta Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan Rel melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan. Program Aeronautik iaitu program ijazah sarjana muda yang pertama yang ditawarkan di ASEAN yang mana program ini menggabungkan aspek teknologi kejuruteraan aeronautik dan aspek pelesenan penerbangan profesional.

UTHM bakal membangunkan konsep lapangan terbang dalam kampus. Apakah harapan dan misi universiti dalam bidang aeronautik?

Konsep lapangan terbang dalam kampus telah dirangka dan dibangunkan UTHM. Pembangunannya melibatkan kemudahan hangar, ruang pejabat dan dewan kuliah. Di seluruh dunia terdapat empat sahaja universiti yang memiliki kemudahan itu termasuk Embry-Riddle Aeronautical University di Amerika Syarikat sehingga universiti ini digelar sebagai Harvard of the Sky . UTHM sangat komited untuk dikenali sebagai Embry-Riddle of the East Malaysia.

Boleh Dr. jelaskan peranan UTHM sebagai universiti peneraju dalam bidang kejuruteraan rel?

UTHM telah diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan industri untuk menjadi universiti peneraju dalam bidang kejuruteraan rel iaitu Pusat Kecemerlangan Industri Keretapi

Atas kepercayaan itu, universiti telah memperkenalkan program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan Rel yang mana pengambilan pertamanya pada September 2018 ini yang melibatkan kampus UTHM di Pagoh. Program ini dilaksanakan menggunakan kaedah tiga tahun di universiti dan satu tahun di industri rel

(3U 1I) yang melibatkan 54 peratus praktikal dan 46 peratus teori.

Program pengajian tersebut mendapat kerjasama daripada University of Birmingham dan Sheffield Hallam University. Kedua-dua universiti itu mempunyai pengalaman yang luas dalam program pascasiswazah kejuruteraan kereta api. Untuk rekod, sebelum ini, UTHM turut menawarkan program Sarjana Sains Kejuruteraan Pengangkutan Rel sejak 2012 dengan kerjasama University of Birmingham United Kingdom.

Apakah pencapaian terbaik UTHM terkini?

UTHM terus melakukan peningkatan berterusan (Soaring Upwards) apabila berjaya memperoleh pengiktirafan lima bintang daripada lapan kategori yang dinilai oleh Sistem Penilaian Quacquarelli Symonds (QS) Stars Rating yang berpusat di London iaitu organisasi pengauditan universiti yang bebas melalui QS World Ranking and Rating.

Hasil pengauditan QS pada 2017, UTHM berjaya meraih lima bintang dalam kategori pengajaran, kebolehpasaran, fasiliti, tanggungjawab sosial dan inklusif yang secara keseluruhannya berjaya membawa peningkatan daripada tiga kepada empat bintang.

UTHM turut meraih lima pingat melibatkan satu pingat emas, satu pingat perak dan tiga pingat gangsa di Malaysia Technology Expo (MTE) 2018 yang berlangsung pada 24 Februari lalu. Lebih membanggakan lagi, penyelidik UTHM Dr. Norfaiza Fuad dari Jabatan Kejuruteraan Komputer, Fakulti Kejuruteraan Elektrik Dan Elektronik juga memperoleh kejayaan apabila turut menerima Anugerah Khas International Federation of Inventors’ Associations.

Manakala Pasukan The Pine UTHM yang mewakili Malaysia ke Imagine Cup 2018 peringkat Asia Pasifik (APAC) pula berjaya mengharumkan nama negara apabila muncul juara melalui hasil ciptaan alat pengesan kualiti buah nanas melalui IoT yang diberi nama Pine. Hasil ciptaan alat ini adalah satu integrasi yang berjaya antara UTHM teknologi dan Microsoft Azure. Pasukan Pine akan mewakili Malaysia ke kejohanan akhir yang akan berlangsung di Amerika Syarikat pada Julai depan.

Apakah langkah-langkah transformasi akademik yang dilaksanakan UTHM?

Bagi kluster akademik UTHM, sasaran yang ditetapkan adalah untuk memperkasakan program akademik universiti agar relevan dengan keperluan industri dan perkembangan Revolusi Industri (4IR). UTHM akan memastikan program akademik universiti dilaksanakan berdasarkan input yang diperoleh daripada tenaga pakar industri.

Selain itu, pelajar UTHM turut terlibat dalam menjayakan mobiliti berkredit antarabangsa. Melalui program ini pelajar UTHM yang terlibat bukan sahaja mendapat ilmu baharu di luar negara tetapi jaringan kerjasama antarabangsa.

Bagaimana pula kebolehpasaran siswazah UTHM?

Siswazah UTHM terbukti memenuhi pasaran pekerjaan tempatan berdasarkan kepada statistik Kebolehpasaran Graduan (GE) UTHM pada 2017. Peningkatan sebanyak 76.54 peratus yang mendapat pekerjaan berbanding pada 2016 iaitu 75.59 peratus dan 74.41 peratus pada 2015.

Kadar kebolehpasaran graduan UTHM mencatatkan peningkatan memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun hasil pelaksanaan program kebolehpasaran graduan dan aktiviti sokongan yang berterusan.

Pelbagai program persediaan dan latihan berbentuk kursus dan seminar telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerjaya, Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar (P3P), Pejabat Hal Ehwal Pelajar bagi membantu siswazah mendapatkan pekerjaan.

Selain itu, Jabatan Kerjaya juga menjalinkan kerjasama dengan Bahagian Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pengajian Tinggi, industri, dan organisasi lain seperti SL1M dan TalentCorp dalam menjayakan program-program GE dan kerjaya pelajar.

Program yang dijalankan terbahagi kepada empat kategori iaitu Permulaan Graduan, Pertengahan Graduan, Pengakhiran Graduan dan Keseluruhan Graduan.