Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, semakin baik kedudukan universiti tempatan dalam kelompok dunia, semakin berkualiti inovasi yang berjaya dihasilkan sekali gus membantu rakyat.

Dalam hal ini, Idris berkata, penduduk kampung, termasuklah peneroka Felda mendapat manfaat daripada pelbagai inovasi canggih universiti yang bukan sahaja membantu meringankan rutin harian tetapi pada masa sama meningkatkan pendapatan.

Untuk minggu ini sahaja, beliau berkata, tiga inovasi universiti tempatan telah dan akan dilancarkan yang memberi kebaikan kepada rakyat.

“Dua hari lepas saya lancar aplikasi Smart Mamak hasil inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini pula E-Cutter ciptaan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sabtu ini saya lancarkan produk daripada belangkas serta kuda laut inovasi Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Inovasi ini bukan hanya memudahkan rakyat tetapi membantu meningkatkan pendapatan.

Malah, turut membantu mengu­rangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Program Penyelidikan Translasional (E-Cutter) UPM Bersama Felda Zon Hulu Selangor di Felda Sungai Tengi Selatan dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan; Naib Canselor UPM, Profesor Datin Dr. Aini Ideris dan Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Anuar Malek.

E-Cutter merupakan inovasi mesin pencantas elektrik terkini yang digunakan untuk menuai buah dan mencantas pelepah kelapa sawit yang menggabungkan konsep pacuan kuasa elektrik dan mekanikal bagi menggerakkan pahat atau sabit pada galah komposit.

Sebanyak 10 E-Cutter diserahkan kepada peneroka Felda Sungai Tengi Selatan sebagai kumpulan perintis dengan 1,000 unit keseluruhannya akan diagihkan secara berperingkat ke seluruh negara.

Pada majlis itu turut diedarkan produk komersial UPM iaitu Kit Bijak Wang kepada 11 sekolah di sekitar kawasan Felda berkenaan.