Presiden dan Pengasas Universiti Limkokwing, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing berkata, usaha itu melibatkan perkongsian ilmu dan kepakaran dalam melaksanakan dasar ekonomi paling inovatif di dunia sekiranya mahu bersaing dengan negara-negara lain.

“Semua negara maju didorong pendidikan yang memberi fokus kepada keperluan masa depan negara serta ekosistem yang menggalakkan kreativiti dan inovatif.

“Hari ini dengan perkongsian kepakaran Malaysia dengan Universiti Limkokwing akhirnya berjaya mewujudkan sistem pendidikan yang mampu membangunkan potensi penuh setiap pemimpin muda, belia dan pelajar di seluruh dunia tanpa mengira di mana mereka berada,” katanya dalam satu kenyataan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Limkokwing 2018 di Lesotho dan Botswana, baru-baru ini.

Majlis konvokesyen itu melibatkan gra­duan Fakulti Inovasi Reka Bentuk, Fakulti Multimedia Kreatif, Fakulti Komunikasi dan Media, serta Fakulti Arkitek dan Hiasan Dalaman.

Selain itu, graduan yang turut menerima ijazah dan diploma pada majlis itu adalah dari Fakulti Perniagaan dan Globalisasi serta Fakulti Teknologi bagi sesi 2018.

Sementara itu, di Lesotho, seramai 804 graduan menerima ijazah dan diploma pada majlis konvokesyen di Dewan Lehakwe, Maseru.

Majlis penyampaian ijazah dan diploma itu dihadiri Ratu Lesotho, Masenate Mohato Seeiso dan Perdana Menterinya, Motsoahae Tyhomas Thabane.

Yang turut hadir sama, Naib Presiden Kanan Pemerkasaan Industri, Universiti Limkokwing, Datuk Raja Aznil Raja Hisham.

Sementara itu, Kok Wing berkata, usaha melahirkan generasi masa depan yang lebih berdaya saing, siswazah hari ini perlu menyiapkan diri dengan menyediakan asas modal insan yang lebih baik dengan perkembangan ketamadunan kerana negara bergantung kepada sumber yang kukuh dan mampan.

“Meskipun terdapat keperluan untuk kita memupuk peneraju dengan perspektif global, namun begitu nilai, identiti negara perlu dipertahan.

“Tanpa kesedaran moral berasaskan nilai diri, peneraju muda masa depan boleh terjebak ke dalam kemerosotan sosial. Justeru, Universiti Limkokwing terus memainkan peranan ke arah melahirkan siswazah yang dilengkapi pengetahuan serta kemahiran dan pada masa sama, memiliki nilai moral dan etika yang baik,” katanya.

Kok Wing berkata, dalam tahun-tahun kebelakangan, Universiti Limkokwing menjadi pilihan industri di seluruh dunia dan menyedari tanggungjawabnya bahawa menyediakan pendidikan adalah paling utama bagi menyepadukan pengetahuan pemimpin masa kini dengan kemahiran dunia sebenar berdasarkan keperluan negara, perniagaan dan industri,
 Sementara itu, Motsoahae berkata, graduan Universiti Limkokwing perlu seimbang dengan keupayaan, potensi dan bakat diri untuk membantu membangunkan Lesotho menjadi sebuah negara maju.

“Kita kena berfikir daripada sekarang, bagaimana hendak meletakkan diri pada masa hadapan, selain memastikan tergolong antara siswazah terhebat kelak yang mampu menjana dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

“Anda digalakkan belajar pada tahap paling tinggi kerana pencapaian akademik boleh menjamin kehidupan masa depan yang lebih baik, sekali gus dapat bersaing dalam kerjaya masing-masing pada peringkat global. Belajar bersungguh-sungguh sehingga pada tahap paling tinggi supaya dapat mencorakkan kehidupan masa depan keluarga dan masyarakat dunia,” katanya.

Sementara itu, Majlis Konvokesyen Universiti Limkokwing Botswana pula meraikan seramai 450 graduan yang menerima ijazah dan diploma di dewan utama universiti itu.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Penyelidikan, Sains dan Teknologi Botswana, Ngaka Ngaka.

Ngaka berkata, kesemua graduan Limkokwing perlu menyiapkan diri dengan disiplin ilmu kemahiran tinggi dan berdaya saing bagi menyahut cabaran dunia pendidikan hari ini.

“Cabaran yang akan dihadapi dari sehari ke sehari semakin kompleks terutama dalam usaha untuk mencapai negara maju, jadi anda adalah pelapis muda yang mampu menyumbang kepada usaha kelestarian pembangunan negara. Terima Kasih kepada Universiti Limkokwing, Tan Sri Lim Kok Wing dan Malaysia.” katanya.