Pengiktirafan itu memperaku usaha cendekiawan dan peranan universiti itu ke arah pembangunan dalam bidang pendidikan dan modal insan.

Mereka yang menerima anugerah itu ialah Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran; Bekas Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPSI, Prof. Datuk. Dr. Noraini Idris; dan Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara, Prof. Dr. Sopia Md Yassin.

Selain itu, Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Prof. Madya Zaharul Lailiddin Saidon; Pensyarah Fakulti Sains Matematik, Dr. Rosly Jafar; dan Pensyarah kanan Fakulti Pembangunan Manusia, Dr. Siti Rahaimah Ali serta Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI turut menerima anugerah yang sama.

IEA yang dianjurkan oleh Ink Media iaitu Pertubuhan Penyelidikan Global Bagi Kajian Pendidikan dan Pembangunan (Global Educators Association For Educational Research and Development) itu telah diadakan di New Delhi, India pada 19 Mei lalu.

Majlis Penganugerahan IEA itu telah diadakan di Panggung Budaya, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, Tanjung Malim, Perak baru-baru ini

Anugerah IEA mengiktiraf sumbangan golongan pendidik dan institusi pendidikan atas pencapaian kejayaan dalam bidang pendidikan dan menyumbang ke arah kualiti kehidupan.

Majlis penyampaian anugerah itu telah disempurnakan oleh Menteri Buruh dan Kebajikan Sosial Republik Kosovo, Skender Recica kepada Mohammad Shatar serta penerima anugerah yang sama pada majlis tersebut.

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, pengiktirafan tersebut memberi semangat kepada UPSI untuk terus berusaha dan menjadikan institusi itu sebagai universiti pendidikan nombor satu dan unggul di rantau ini.

“Kami akan terus bekerja keras bagi meletakkan aspirasi pendidikan sebagai agenda utama negara ini dan sudah tentu golongan pendidik memainkan peranan penting dalam memastikan generasi muda hari ini menjadi pemimpin masa depan negara dan seterusnya menempa kejayaan seperti pemimpin dahulu.

“Hari ini kita menyaksikan enam daripada warga UPSI menerima anugerah IEA atas pencapaian mereka dalam bidang pendidikan universiti dan negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Universiti akan bekerja keras bagi membantu UPSI menjadi nombor satu di dunia dan seterusnya menyasarkan peningkatan kedudukan dalam 100 QS World University Ranking yang merupakan penarafan utama global dalam mengukur kedudukan universiti berbanding dengan universiti-universiti lain di dunia,” katanya.