Budaya Timur Tengah oleh masyarakat Arab dari beberapa negara Arab seperti Yemen, Sudan, Mesir, Jordan, Qatar sehinggalah ke Arab Saudi dan Palestin diserlahkan dengan begitu menarik terutama melalui pakaian tradisional berwarna warni, tarian, makanan tradisi dan persembahan sketsa serta drama mengenai kehidupan masyarakat itu.

Apa yang lebih menarik, terdapat drama dan sketsa yang disajikan kepada penonton memaparkan kisah-kisah syahdu yang melakonkan kehidupan masyarakat awam Palestin dan Syria untuk memberi keinsafan dan pengajaran berguna akan kepentingan untuk sentiasa mensyukuri nikmat keamanan dan perpaduan.

Pengarah program, Mussab Al Aqeede berkata, Malam Kebudayaan Arab tersebut bertujuan menghimpunkan masyarakat Arab di MMU yang merupakan pelajar antarabangsa majoriti di universiti itu.

“Program ini juga bertujuan untuk memperkenal dan mempersembah keunikan budaya Arab kepada warga MMU di samping mewujudkan suasana seperti berada di negara sendiri dalam kalangan pelajar Arab di MMU,” katanya.

Beliau berkata, dengan cara itu, adalah diharapkan, program ini menjadi kenangan indah kepada para pelajar di samping merapatkan ukhuwah masyarakat Arab dari pelbagai negara dari Sudan sehingga ke Arab Saudi.

Program yang penuh kemeriahan itu dirasmikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar MMU, Zamzuri Abdul Majid dan dihadiri Duta Besar Somali Republik, Abukar Abdi Osman dan pegawai serta kenamaan lain dari kedutaan Arab Saudi dan Jordan.