Aktiviti itu kini bukan sekadar untuk mengisi masa lapang malah ia boleh mendatangkan ganjaran yang lumayan menerusi pertandingan yang sering dianjurkan di luar negara.

Bagi meningkatkan minat remaja terhadap salah satu cabang sukan tersebut, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka cawangan Jasin baru-baru ini menganjurkan UiTM Major League e-Sport Competition 2017 bertempat di UiTM kampus Jasin.

Program sehari yang dianjurkan bersama E-Sport Malaysia (ESM) itu melibatkan penyertaan sebanyak 150 pemain permainan elektroik atau gamers yang terdiri daripada pelajar dari beberapa universiti dan kolej tempatan.

Menurut artikel daripada laman sesawang Newzoo.com, Asia Tenggara adalah antara benua yang paling cepat berkembang dari segi peningkatan peminat e-sukan dan pada 2016 sahaja, peminat e-sukan di Malaysia mencecah 1.8 juta orang.

Sementara di Asia Tenggara, jumlah peminat e-sukan berjumlah 9.5 juta orang dan dijangka meningkat dua kali ganda pada 2019.

Presiden ESM, Datuk Latt Shariman Abdullah berkata, menyedari kepesatan perkembangan permainan itu pihaknya mengambil langkah drastik dan akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab e-sukan bagi Asia Tenggara.

Menurut beliau, hasrat itu sekali gus bakal memberi lebih manfaat kepada penggemar e-sukan di negara ini kerana Malaysia akan menjadi tumpuan bukan sahaja para pemain dalam talian dari seluruh Asia Tenggara malah dalam kalangan 16.8 juta pemain e-sukan di seluruh dunia.

“E-sukan Malaysia akan dijadikan hab untuk Asia Tenggara dan jika boleh menjadi hab untuk dunia.

“Kita sudah mempunyai kelebihan iaitu pertamanya rakyat kita mampu berbahasa Inggeris dibandingkan dengan negara lain misalnya, Korea Selatan.

“Selain itu, kita mempunyai beberapa kemudahan termasuk penerbangan, tempat tinggal yang masih rendah dan mampu dinikmati pemain dalam kalangan pelajar universiti. Jika kerajaan betul-betul hendak membantu e-sukan saya rasa banyak sebab untuk jadikannya acara sukan yang kita perlu bangunkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menutup UiTM Major League e-Sport Competition 2017 di Jasin, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Rektor UiTM Melaka, Prof. Madya Sabariah Ahmad dan ikon e-sukan negara, Amirul Afandi atau Am Tuah.

Mengulas lanjut, Latt Shariman berkata, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada kerajaan menerusi beberapa kementerian antaranya Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, serta Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sebagai persediaan menjadi hab e-sukan pada peringkat Asia Tenggara, beliau berkata, ESM akan memperkasa Akademi E-Sport yang ditubuhkan di Universiti Asia Pasifik di Bukit Jalil dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain sukan e-sukan secara profesional.

Akademi E-Sport yang mula beroperasi sejak April lalu terbuka kepada golongan remaja dan belia dari seluruh negara yang berminat dalam aktiviti sukan itu.

Ketika ini, sebanyak empat permainan yang disediakan di akademi berkenaan iaitu Dota 2, League Of Legends, Counter Strikes dan Fifa Online.

Sehubungan itu, ESM menyeru lebih banyak institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh negara untuk mengiktiraf e-sukan sebagai satu aktiviti rasmi dan berdaftar.

Sehingga kini terdapat 16 buah IPT telah menubuhkan kelab e-sukan yang berdaftar dengan pihaknya dan sokongan itu penting dalam mengembangkan potensi pelajar-pelajar yang terlibat dalam e-sukan ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, penglibatan para pelajar dalam e-sukan juga mampu menghindarkan mereka daripada terlibat dalam kegiatan jenayah dan gejala sosial.

Alumni Sekolah

019-333 4355

Pembaca dipelawa menghantar berita dan foto tentang aktiviti alumni sekolah ke ruangan Alumni Sekolah. Hantar melalui e-mel [email protected] atau alamatkan kepada: Ruangan Alumni Sekolah, Utusan Melayu (M) Berhad, No 44, Jalan Utusan, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 
Kuala Lumpur.

http://www.tutor.com.my/alumnisekolah