Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pelaksanaan tersebut bertujuan mewujudkan konsep ekonomi pintar selaras dengan usaha kementerian mengadaptasi teknologi digital dalam pendidikan tinggi negara.

Menurutnya, perkara itu juga di samping memastikan keterlibatan golongan muda dalam menghadapi pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi mencapai matlamat dalam menyediakan rakyat untuk berdepan dengan Revolusi Industri 4.0.

“Untuk makluman semua, mentransformasikan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjadi kampus pintar merupakan hasrat kementerian yang perlu dilaksanakan dan ianya merupakan salah satu inisiatif ke arah mendepani cabaran Pendidikan Tinggi 4.0.

“Ianya berkonsep teknologi digital membabitkan penggunaan teknologi untuk urusan harian warga universiti,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran jalur lebar rangkaian penyelidikan dan pendidikan Malaysia (MYREN) yang dijenamakan semula sebagai MYREN-X dan inisiatif kampus pintar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ab. Wahab Ab. Latip; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Rawi Mahmud dan Naib Canselor Utem, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib

Pada masa sama, Idris memberitahu, dalam memastikan usaha tersebut tercapai, kementeriannya melalui MYREN-X telah meningkatkan kelajuan internet di semua universiti awam.

“Saya yakin kemudahan internet yang disediakan ini telah diguna pakai dan saya percaya ianya telah dihubungkan dengan kemudahan intranet sedia ada di universiti masing-masing,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE