Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail me­nyatakan, bagi mencapai hasrat itu, tumpuan akan diberikan kepada aspek penggunaan tenaga dan pemeliharaan sumber.

“Strategi Kampus Lestari ­Unimap kini terbahagi kepada tiga peringkat, di mana fasa pertama mengadakan kempen ke­sedaran, penghayatan dan pembudayaan nilai murni, sambil mengenal pasti bidang les­tari untuk dilaksanakan,” titah ba­ginda.

Tuanku Syed Faizuddin selaku Canselor Unimap mengutarakan perkara itu ketika mengetuai delegasi program Jelajah Ilmu Unimap 2017 ke Baku Higher Oil School, di sini kelmarin.

Raja Muda Perlis bertitah, bagi fasa kedua, ia melibatkan pembangunan struktur pentadbiran ‘hijau’ akan dilaksanakan, selain pengukuhan projek yang dimulakan dalam fasa pertama di sam­ping mewujudkan tabung endowmen hijau.

“Untuk fasa ketiga yang dijangka bermula pada 2020 pula, ia melibatkan pemerkasaan projek fasa pertama dan kedua akan dilaksanakan.

“Apabila berada di pering­kat ini, perubahan ketara da­lam operasi kampus lestari dijangka dapat dilihat secara lebih jelas,” titah baginda.

Keberangkatan baginda ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang diwujudkan sejak 2011 itu disambut oleh Rektor Higher Oil School, Elmar Gasimov.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap, Prof. Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan serta pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar Unimap sesi 2016-2017.

Delegasi tersebut berada di Azerbaijan bagi menjalankan be­berapa program bersama IPT awam dan swasta di sini. – UTUSAN