Setelah 27 tahun terlepas daripada bekas kesatuan itu, Azerbaijan terus digelar ‘Negara Api’ kerana limpahan kekayaan minyak dan sumber gasnya, sehingga negara tersebut terus melihat jauh ke depan dalam perancangan pembangunan ekonominya secara tersusun.

Pembangunan pesat di Baku, ibu negara republik yang 96 peratus penduduknya beragama Islam itu, jelas membuktikan bahawa Azerbaijan mula menonjolkan diri sebagai satu lagi kuasa ekonomi dunia yang perlu diberi perhatian.

Salah seorang pemimpin MPP yang mengagumi kehebatan Baku, sekali gus membawa maksud Azerbaijan itu sendiri yang penuh dengan tinggalan sejarah sejak ia merdeka daripada Kesatuan Soviet pada 1991 ialah Ernie Suzlyana Mohamed Tasuni, 21.

Penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan itu menyatakan, Baku sarat dengan pelbagai khazanah sejarah dunia, kerana Azerbaijan kerap dirujuk sebagai tapak awal kehidupan manusia.

Ernie Suzlyana merupakan sa­lah seorang pemimpin MPP yang menyertai program Jelajah Ilmu Unimap, meliputi satu malam di Astana (Kazakhstan), empat hari di Baku, Azerbaijan dan satu malam di bandar raya Amlaty iaitu pusat kewangan Kazakhstan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Unimap mengetuai delegasi yang berteraskan pendidikan itu.

Yang turut serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap, Prof. Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan serta Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap, Prof. Madya Razli Ahmad.

Perlu disebut, sewaktu menyertai program jelajah ilmu itu, mahasiswa terlibat turut menjayakan promosi makanan Perlis di kediaman rasmi Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Datuk Roslan Abdul Rahman.

Ernie Suzlyana yang berasal dari Kampung Kayu Ara Pasong, Parit Haji Siraj, Pontian, Johor yang bercita-cita menjadi jurutera dan memiliki syarikat perniagaan bertaraf global itu menyatakan, salah satu bukti kecemerlangan Baku ialah berasaskan tinggalan peradaban dan senibinanya yang mengagumkan.

Mahasiswa itu juga percaya hubungan Kuala Lumpur-Baku akan berterusan kerana sehingga kini eksport utama Azerbaijan ke Malaysia ialah minyak mentah dan peralatan saintifik, manakala Malaysia terus menghantar pelbagai barang dagangannya ke Baku, termasuk barangan elektrik, produk getah dan mesin.