Hadir menyaksikan majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin; Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin; dan Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Abd Rahman Safie.

Menurut Daing Nasir, sungguhpun UMP menawarkan program berteraskan pengajian kejuruteraan dan teknologi namun tidak menghalang mahasiswa berkecimpung dalam bakat seni dan kreativiti.

“Program ini dapat memperkenal UMP kepada khalayak ramai serta menjadi sebahagian program Tahun Melawat Pahang pada tahun ini bagi menggalakkan pelancong ke Pahang.

“Selain itu, ia mendekatkan universiti dengan masyarakat dalam agenda memasyarakatkan teknologi,” katanya.

Ujar beliau UMP juga menggalakkan mahasiswa untuk melibatkan dalam pelbagai aktiviti kebudayaan dan terdapat lebih 70 kelab dan persatuan dalam menggalakkan bakat dan kepimpinan mahasiswa agar mereka lebih kompeten dan berdaya saing berdepan dengan alam pekerjaan nanti.

Dalam program ini pelajar mempamerkan persembahan tarian zapin, joget Serampang, nasyid, busker, tarian kebudayaan dari negeri Sabah dan Sarawak serta persembahan kompang membabitkan Kumpulan Kencana Pawana, Baraqah Beggers dan Kustari Borneo dari Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian UMP, Sekretariat Ikatan Siswa Anak Darul Ta’zim (Iskandar) dan pelajar yang mengikuti subjek kokurikulum Pengurusan Majlis.

Bagi Hamzaki Osman yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam bersyukur menjayakan persembahan Zapin Laksamana Raja Di Laut dalam majlis itu.

Nur Fairuz Husin yang meminati tarian sejak kecil bertuah kerana dapat menceburkan diri dalam seni dengan menyertai kumpulan Kencana Pawana di universiti ini.

Selain menonjolkan bakat, pengalaman ini pastinya menjadi ingatan buat pelajar yang berpeluang mempromosikan universiti dan negeri Pahang.

Dalam pada itu, Sharkar melahirkan perasaan bangga terhadap kehebatan pelajar yang berbakat bukan sahaja menguasai pengajian akademik malah dalam kesenian.

“Pihak kerajaan negeri menyokong usaha universiti dalam bersama-sama menyemarakkan program Tahun Melawat Pahang 2017,” katanya.

Persembahan membabitkan lebih 100 pelajar yang menjayakan program itu mendapat sambutan ramai daripada pengunjung dalam dan luar negara.