Dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Perak dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, program itu me­maparkan pameran melibatkan 20 universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institut latihan kemahiran awam (ILKA).

Pengarah BPKP Jabatan Pendidikan Tinggi, Mazula Sabudin berkata, program itu merupakan salah satu aktiviti tahunan kementerian bagi memberi pendedahan secara terus kepada masyarakat setempat termasuk kemudahan pembiayaan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan.

“Inisiatif penganjuran program ini sangat relevan dalam meuar-uarkan peluang pendidikan tinggi kepada masyarakat sekali gus membuka ruang dan peluang kepada para belia untuk memajukan potensi diri.

“Selain itu, ia juga diharapkan dapat meningkatkan akses dan capaian pendidikan tinggi dalam kalangan pelajar terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan bagi peringkat negeri Perak yang berlangsung di RTC Gopeng di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Wan Mohamad Nasir Wan Abdul Rahman; Pengerusi Kolej Komuniti Wilayah Perak, Zulkifli Kamaruddin dan Pengarah Kolej Komuniti Chenderoh, Hastarija Hassan.

Kolej Komuniti Chenderoh dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bertindak sebagai urusetia bersama bagi menjayakan prasarana pameran dan publisiti.

Dalam pada itu, Mazula berkata, pihaknya juga tidak mahu melihat terdapat generasi muda yang tercicir dalam arus pemba­ngunan negara yang bergerak pantas.

Sehubungan itu katanya, adalah penting untuk mereka memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran pada tahap yang terbaik.

“Perkembangan ini juga selari dengan usaha transformasi yang dilakukan oleh kerajaan ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi,” katanya.