Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail itu bertanggungjawab dalam memutuskan mengenai tempoh konsesi, kos dan lain-lain hal berkaitan.

“Wakil Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak universiti akan turut dijemput menganggotai jawatankuasa itu.

“Apa yang mustahak kita mahu pihak yang menyertai Taman Ilmu ini kelak adalah dalam kalangan mereka yang memberi impak baik kepada bidang pendidikan terutama bagi rakyat ne­geri ini,” katanya selepas merasmikan Kolej Kediaman U­niversiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Taman Ilmu, di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Ketua Setiausaha Kementerian itu, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohamad Nur;

Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Prof. Emiritus Datuk Dr. Kamarudin Husin dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar; Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamad; Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof. Datuk Mohd. Rizon Juhari dan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Datin Ir. Dr. Hanisah Tapsir.

Terdahulu, Ahmad Razif bersama Idris menyaksikan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) penyerahan asrama Taman Ilmu itu antara kerajaan negeri yang diwakili Wan Nawawi de­ngan UniSZA oleh Ahmad Zubaidi.

Kerajaan negeri bersetuju membenarkan pihak UniSZA mengguna pakai kemudahan dua blok di Taman Ilmu secara percuma dalam tempoh 10 tahun bertujuan penginapan pelajar Kampus Besut yang terletak bersebelahan.

Menurut Ahmad Razif, Taman Ilmu mengamalkan konsep ke­sepunyaan, justeru mana-mana IPT yang mahu mewujudkan pusat pembelajaran, kelas dan pejabat perlu membangunkan sendiri kemudahan itu di atas tapak yang disediakan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, fasi­liti seperti hostel, perpustakaan, masjid, stadium mini, pejabat canselori telah dibangunkan oleh kerajaan ngeri untuk kegunaan bersama.

Sementara itu, Ahmad Zubaidi berkata, pengurusan universiti telah membuat ketetapan supaya satu blok asrama dibaik pulih terlebih dahulu ekoran kosnya yang tinggi dan keperluan mendesak penginapan pelajar di Kampus Besut.

Katanya, kos baik pulih itu berjumlah RM10 juta sumbangan Kementerian Pendidikan Tinggi dan seramai 250 pelajar lelaki akan mula menghuni di asrama itu mulai Ahad ini.