Dalam tempoh itu, lebih 10,000 graduan telah berjaya dilahirkan daripada pelbagai kursus, dan hari ini ramai dalam kala­ngan mereka yang kini berkhid­mat dalam sektor awam dan swasta termasuk dalam bidang profesional.

Kejayaan itu membuktikan bahawa IPB telah berjaya melaksana­kan matlamat penubuhan­nya untuk melahirkan profesional Muslim terutama dalam kalangan anak-anak asnaf yang mampu menyumbang kepada peningkatan taraf ekonomi Islam dan sete­rusnya menjadi pusat transformasi kecemerlangan holistik.

Tidak hairanlah, institusi pendidikan milik penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu kini semakin menjadi pilihan pelajar bagi melanjutkan pelajaran dan turut diyakini ibu bapa hasil peranca­ngan strategik yang diusahakan barisan pengurusan serta tenaga pengajarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif IPB, Sakaria Semela berkata, sejak penubuhannya, IPB sentiasa me­ngorak langkah setapak demi setapak seiring perubahan semasa dalam usaha menjadikan ia sebuah gedung ilmu bagi pendidikan berkualiti.

“Jika dahulu, IPB hanya menawarkan program-program kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan badan profesio­nal dari United Kingdom untuk pelajar-pelajarnya, tetapi kini kami mempunyai program sendiri yang tiada lagi ditawarkan di mana-mana institusi pengajian tinggi di negara ini.

“Sejak 2015, IPB telah mewujudkan tiga programnya sendiri iaitu Diploma Pengurusan Haji dan Umrah; Diploma Pengurusan Zakat dan Wakaf serta Diploma Pengajian Muamalat diikuti satu lagi program pada 2016 iaitu Diploma Pengurusan Industri Halal,” katanya.

Sakaria berkata, dengan ada­nya program sendiri itu, IPB telah mengambil langkah membuka kampus cawangannya di Putrajaya yang setakat ini hanya mengendalikan empat program sendiri.

Katanya, IPB kini secara ke­seluruhannya menawarkan 11 program iaitu empat program sendiri, lima program kerjasama dengan UiTM dan dua program sijil profesional. IPB juga memiliki dua kampus yang boleh menampung 3,500 pelajar dalam satu-satu masa.

Tambah beliau, selain menitikberatkan kualiti pendidikan, IPB turut menyediakan kemudahan pembelajaran seperti makmal komputer yang dilengkapi de­ngan perisian terkini, makmal bahasa, bilik kuliah berhawa dingin dan perpustakaan yang dilengkapi dengan kemudahan digital serta dewan kuliah.

“Program kami sendiri itu khususnya Diploma Pengurusan Haji dan Umrah mendapat permintaan ramai kerana buat masa ini hanya IPB satu-satunya institusi yang menawarkan program tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata, pada masa depan IPB akan menjalankan lebih banyak kursus di peringkat profesional termasuklah memperkenalkan kursus jangka pendek untuk pengendali haji dan umrah serta tadbir urus masjid selain mewujudkan kursus untuk melatih penguat kuasa agama di negara ini.

Jelasnya, sijil profesional yang diperkenalkan kelak adalah bagi memberi nilai tambah bukan sahaja untuk pelajar tetapi pekerja-pekerja dalam sektor berkaitan.

“Kami telahpun mencipta modul untuk beberapa program dan harapannya ia dapat diper­kenalkan selewat-lewatnya awal tahun depan,” ujarnya.

Kata Sakaria, IPB juga telah menempa kejayaan gemilang apabila dinobatkan sebagai Kolej Bersekutu Terbaik UiTM untuk tujuh tahun berturut-turut.

Katanya, kecemerlangan yang dikecapi itu membuktikan bahawa IPB mampu memberi peluang yang sama rata bagi menyemai dan memupuk potensi tersembunyi yang ada pada anak-anak muda kerana mereka mampu untuk cemerlang di alam pekerjaan.

Malah katanya, kejayaan itu juga adalah berkat kesungguhan dan komitmen tidak berbelah bahagi pihak pengurusan, pensyarah para pegawai dan kakitangan IPB.

“Saya berterima kasih kepada MAIWP yang membangunkan IPB dan memberi perhatian serius dalam pendidikan tinggi, dan tidak lupa juga pengurusan awal institusi ini yang telah berjaya meletakkan IPB di tangga kejayaan sehingga mampu bertahan selama 25 tahun.

“Tidak lupa juga masyarakat yang terus memberikan kepercayaan kepada IPB dengan memilih institusi ini untuk menyambung pengajian di peringkat diploma serta sijil,” kata Sakaria.