Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, reputasi universiti akan berada pada tahap tertinggi sekiranya berjaya mendidik, mengasuh, membimbing dan menghasilkan graduan yang berintegriti.

“Universiti Malaya (UM) harus berada di barisan hadapan menjadi jaguh agenda integriti kerana sebagai pusat perkembangan ilmu dan tamadun yang bertanggungjawab melahirkan cerdik pandai, UM mempunyai tanggungjawab besar menyemai nilai integriti dalam usaha melahirkan graduan terbaik.

“Para graduan harus bersedia menghadapi realiti dunia yang kian mencabar, bukan sahaja dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dan ketersediaan fizikal untuk memenuhi keperluan pasaran kerja, malahan wajib melengkapkan diri de­ngan akhlak dan budi yang menjadi teras pembinaan roh,” titah baginda yang juga merupakan Canselor UM.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UM 2017 di Dewan Tunku Canselor di sini hari ini.

Titah baginda, integrasi antara akal dan jiwa perlu dibina selari kerana adalah mustahil untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, tinggi intelek dan mantap spiritualnya jika salah satu daripada elemen tersebut dipinggirkan.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, adalah penting untuk memahami perbezaan antara insan berpelajaran dengan insan berpendidikan serta antara insan berpengetahuan dengan insan berilmu.

“Insan berpelajaran mungkin menguasai pelbagai pengetahuan tetapi tidak merasa bersalah memanipulasikan pengetahuan untuk kepenti­ngan diri, meski pun mengakibatkan kesengsaraan kepada insan lain dan kehidupan alam. Sementara insan berpendidikan adalah insan berilmu yang dilengkapi komponen roh, lalu menyedari akan etika dan batas yang wajib dihormati,” titah baginda.

Baginda bertitah, integriti adalah bersumberkan kepada kekuatan dalaman iaitu kekuatan daripada keimanan yang menuntut kepada kesanggupan untuk seseorang itu menghadapi risiko dan melakukan pengorbanan.

“Dalam menghadapi godaan dan dugaan, saudara-saudari perlu memiliki kekuatan azam, daya tahan dan membina ke­imanan yang kukuh. Berwaspada agar tidak mudah terperangkap dengan formula ‘kejayaan segera, kekayaan segera, kemewahan segera, kekuasaan segera’.

“Ini kerana kejayaan, kekayaan, kemewahan dan kekuasaan yang dimiliki melalui usaha tulen, melalui titik jerih dan kesabaran, lebih kekal, lebih afdal dan lebih sejahtera sifatnya,” titah baginda.

Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling dan Dr. Lin Hai Peng dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus, Tan Sri Dr. Lee Shin Cheng dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Sains manakala Dr. Anthony Crothers Milner menerima Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan.

Majlis terbabit turut menyaksikan anak kelahiran Kuala Lumpur, Nur Hana Mohamed Ariffin, 23, dan anak kelahiran Selangor, Loh Chee Keen, 24, masing-ma­sing menerima Anugerah Pelajaran Diraja.