Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Shahrul Azila Mohd. Salleh berkata, tiga program berkenaan ialah Diploma Syariah dan Perundangan Islam, Pengurusan Maritim dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Beliau berkata, ketiga-tiga program itu kini masih dalam peringkat mendapatkan kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Pemilihan ketiga-tiga jurusan ini dibuat selepas meneliti peluang pasaran kerja yang ditawarkan di dalam dan luar negara pada masa kini dan kita telah bersedia menghantar dokumen berkaitan. Pada masa ini, kita masih menunggu untuk mendapatkan akreditasi daripada MQA.

“Penawaran kursus berkenaan juga sebagai salah satu persediaan pihak Instedt untuk mencapai status kolej universiti tidak lama lagi,“katanya selepas majlis Konvokesyen Instedt Ke-8 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini baru-baru ini.

Seramai 297 graduan jurusan Diploma Kejururawatan, Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Perakaunan, Diploma Pengurusan Pelancongan, Diploma Perhotelan, Diploma Kesetiausahaan Undang-Undang dan Diploma Teknologi Maklumat menerima diploma masing-masing.

Pada majlis itu, Mohd. Hazeli Mohd. Hafiz Nganli, 21, graduan Diploma Teknologi Maklumat menerima Anugerah Khas Pengerusi

Eksekutif dan Anugerah Graduan Cemerlang, manakala graduan Diploma Pengajian Sukan, Sofia Jaamad, 23, pula menerima Anugerah Pengerusi Eksekutif.

Instedt berjaya berkembang menjadi salah sebuah kumpulan pendidikan tinggi swasta milik bumiputera yang terbesar di negeri ini sejak penubuhannya pada 1997 dan kini menawarkan 13 kursus yang menekankan program akademik bersifat hibrid setaraf dengan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, Shahrul Azila berkata, bagi menjamin kualiti pendidikannya, Instedt akan terus melaksanakan sistem pengurusan

berkualiti sejajar dengan prosedur jaminan kualiti pengajian tinggi Malaysia di bawah pemantauan MQA dan Kementerian Pendidikan.

“Kami berusaha mencapai standard dan kriteria petunjuk prestasi yang ditetapkan bagi sebuah institusi berkualiti supaya

setanding dengan pusat pengajian tinggi antarabangsa . Maka segala usaha gigih ini mengharapkan doa dan sokongan padu daripada semua pihak,“katanya.