Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Ingin bantu pulihara ekosistem Gunung Ledang

Omar Abdul Aziz (kanan) bersama pelajar, kakitangan dan alumni
Omar Abdul Aziz (kanan) bersama pelajar, kakitangan dan alumni yang merupakan ahli BAT dan Kerex dari UTem yang menjalankan misi mendaki Gunung Ledang, Johor baru-baru ini.

Sekumpulan warga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berhasrat menjadikan Gunung Ledang sebagai gunung angkat bagi memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan generasi muda.

Kumpulan tersebut terdiri daripada pelajar, kakitangan dan alumni yang merupakan ahli Backpackers Adventure Team (BAT) UTeM dan Kelab Rekreasi dan Sukan Ektreme (Kerex) UTeM.

Penyelaras BAT UTeM, Omar Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan Perbadanan Taman Negara Johor bagi merealisasikan hasrat itu.

“Dalam pertemuan dengan pihak perbadanan, kami telah menyuarakan hasrat untuk menjadikan Gunung Ledang sebagai gunung angkat dan Insya-Allah dalam masa terdekat, perbincangan terperinci akan diadakan antara kedua-dua pihak.

“Sekiranya mendapat kelulusan, pihaknya merancang untuk melaksanakan pelbagai aktiviti bagi mendidik golongan muda terutama pelajar tentang kepentingan pemuliharaan eksosistem untuk kesejahteraan kehidupan pada masa hadapan,” katanya.

Seramai 37 ahli BAT dan Kerex terlibat melaksanakan kerja-kerja konservasi seperti membersihkan laluan trek dan tapak perkhemahan Padang Batu serta pemasangan papan tanda check point yang baharu.

Omar yang juga Penolong Pegawai Tadbir UTeM berkata, usaha yang dijalankan itu diharap membantu pihak perbadanan untuk memulihara persekitaran dan ekosistem gunung berketinggian 1,276 meter dari paras laut yang menjadi aset kepada sektor pelancongan, ekonomi dan kesejahteraan penduduk.

“Pihak kami turut berjaya membina tandas pada ketinggian 948 meter dari aras laut di tapak perkhemahan tersebut menggunakan bahan-bahan binaan yang dibawa secara sendiri tanpa menggunakan bantuan peralatan dan jentera berat,” ujar Omar.

Jelasnya lagi, pihaknya dengan bantuan Pusat Kelestarian Alam Sekitar UTeM (PKA) turut melakukan kajian dan pengumpulan data bagi melaksanakan projek hidro mikro di tapak perkhemahan Padang Batu.

“Projek hidro mikro merupakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat UTeM untuk berkongsi kepakaran dan teknologi yang dimiliki warga UTeM bagi membina kemudahan bekalan elektrik yang bakal memberi keselesaan dan keselamatan kepada pendaki.

“Alhamdulillah, program konservasi ini merupakan antara aktiviti yang sering kali dianjurkan oleh BAT dan Kerex sejak 2011 bagi menerapkan pengetahuan pemuliharaan untuk melahirkan generasi pelapis yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain