Pameran yang ber­­­langsung selama dua hari di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah, baru-baru ini merupakan program tahunan an­juran Pusat Pengajian Pengkomputeran (SoC) de­ngan kerjasama Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UUM serta Pejabat Pembangunan Pelajar dan Kolej Sastera dan Sains (PPA CAS) yang disertai pelajar universiti, politeknik serta sekolah menengah dan rendah dari seluruh negara.

Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Madya Dr. Huda Ibrahim berkata, I-RIA 2017 membuka skop projek yang lebih luas, tidak terhad kepada bidang berkaitan Teknologi Maklumat (IT) sahaja tetapi juga meliputi 19 kategori dipertandingkan dalam I-RIA 2017 seperti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Kompu­ter Sains, Matematik, Statistik, Teknologi Hi­jau, Robotik, Pemo­delan dan Simulasi.

“I-RIA 2017 juga mendapat penyerta­an daripada 17 buah sekolah berbanding lima penyertaan pada tahun lalu, termasuk dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan sekolah mene­ngah sains,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah dan penutup I-RIA 2017 disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif MyEG Services Berhad, Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha.

Sementara itu, Raja Munir Shah berkata, I-RIA adalah satu platform yang baik untuk mempromosi idea dan konsep baharu yang melibatkan pelajar, khususnya untuk mengete­ngahkan hasil inovasi mereka.

“Acara tahunan ini sangat baik untuk menanam kesedaran tentang kepentingan ICT pada masa depan, yang perlu kita rebut, jika tidak kita akan ketinggalan.

“Saya berharap peserta dapat komersialkan hasil inovasi mereka bukan sekadar untuk menyertai pertandingan, sebaliknya bagi tujuan dikomersialkan juga,” katanya yang turut menyampaikan ucaptama bertajuk 4th Industrial Revolution Opportunities And Challenges.

Pada majlis itu, sebanyak lima anugerah khas disampaikan iaitu Anugerah TNCPI yang dimenangi UUM menerusi produk P.S. 1.2.3: Alat Penyelesaian Masalah Matematik; Anugerah ICC turut dimenangi UUM dengan produk Sistem Tiket Bas secara atas talian (berdasarkan web) dan Anugerah Terbaik oleh Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) menerusi produk Cristal 3.0.

Seterusnya, Anugerah MYRIS dimenangi Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin dengan produk Bangunan Pintar; Maktab Rendah Sains MARA Kubang Pasu (Bot Pintar Kupa) dan UUM (Yummy Recipe) serta Anugerah IEEE yang dimenangi Politeknik Muadzam Shah, Pahang menerusi produk Pengawasan Sekuriti Kediaman oleh GSM dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan produk Compact, Flexible and Low-Profile EBG Enabled Antenna for Wearable Medical Application.

Sementara itu, pemenang Anugerah ICC, Noor Izzati Mohd. Zainuddin dari SoC berkata, dia tidak menjangkakan untuk merangkul anugerah khas tersebut memandangkan banyak hasil inovatif lain yang turut hebat.

Noor Izzati yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Maklumat) berkata, projek itu dihasilkan untuk sebuah syarikat pelancongan yang menyediakan perkhidmatan bas ke Pantai Timur.

“Projek ini sudah bermula sejak saya berada di semester lima lagi dan mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan dengan bantuan penyelia.

“Saya berharap projek ini dapat diketengahkan pada masa depan dan akan diberi penambah baikkan lagi,” ujarnya.

I-RIA 2017 turut diserikan dengan sesi ucaptama yang disampaikan oleh Ketua Perkhidmatan Dalam Talian Malaysia yang merangkap Felo Adjung SoC, Dr. Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibudeen dan Pengarah Jabatan Gaya Hidup Digital dan Masyarakat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), John Tay Jin Kiong.

Turut diadakan sesi perkongsian maklumat oleh Muhamad Yusrizal Datuk Yusoff dan Abdul Rahman Samad dari Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM).