Saat menggembirakan itu akan dilalui oleh graduan Management and Science University (MSU) apabila mereka menerima skrol masing-masing dalam Majlis Konvokesyen MSU ke-21 yang bakal diadakan pada 6 dan 7 Ogos ini.

Bagi memeriahkan lagi sambutan majlis konvokesyen itu, MSU telah mengadakan Homecoming Fiesta 2017 (HCF 2017) yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 5 Ogos 2017 yang berjaya menarik kehadiran lebih 2,000 warga kampus dan pengunjung luar.

Melalui HCF 2017, pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti Hippocratic Oath - melibatkan penyertaan pelajar perubatan MSU yang telah menamatkan pengajian termasuk ikrar nilai-nilai yang perlu dipraktiskan oleh seorang doktor.

Aktiviti lain adalah White Coat Ceremony dan Oath Taking Ce­remony yang diadakan sebagai tradisi dalam kalangan pelajar tahun pertama program perubatan dan pelajar baharu MSU.

Turut diadakan lari­an amal, Walk for Syria melibatkan pe­nyer­taan lebih 1,000 warga MSU dan komuniti sekitar Shah Alam. La­rian sejauh lima kilome­ter itu bermatlamat untuk me­ngumpul dana bagi membantu mangsa perang di Syria yang rata-rata adalah kanak-kanak, wa­nita dan warga emas.

Kempen derma darah turut diadakan bagi menyelamatkan nyawa orang lain dan pada masa sama memperoleh manfaat dari segi kesihatan.

Bagi memupuk budaya keusahawanan dalam ka­langan pelajar MSU, HCF 2017 telah membuka peluang kepada pelajar universiti itu untuk terlibat dalam bazar keusahawanan dan makanan.

HCF 2017 turut menjadi platform kepada pengunjung untuk mendapatkan informasi ber­kaitan peluang melanjutkan pe­ngajian di MSU tidak kira di pe­ringkat prauniversiti, diploma, ijazah sarjana muda mahupun pascasiswazah.

Kemuncak HCF 2017 ialah istiadat Majlis Konvokesyen MSU ke-21 pada 6 dan 7 Ogos ini yang akan disempurnakan oleh Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun selaku Canselor MSU. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dan Presi­den MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid.