UIAM dalam satu kenyataan berkata, pengumuman penerima anugerah itu telah dilakukan pada 11 Januari lalu.

Jelasnya, ia diberikan di atas kejayaan Irwandi dan pasukannya dalam membangunkan bidang teknologi dan pembangunan sains halal.

“Ia termasuklah usaha membangunkan kaedah baharu untuk menganalisis bahan-bahan dalam pembuatan makanan halal dan mewujudkan prosedur praktikal dalam penghasilan gelatin halal daripada pelbagai sumber bukan protein seperti unta dan ikan.

“Selain itu, beliau juga telah menghasilkan kit mudah alih pengesan bahan bukan halal dalam makanan, kosmetik dan barang-barang keperluan lain,” ujar kenyataan itu di sini hari ini.

Kit berkenaan mampu mengesan kehadiran alkohol dan lemak berasaskan ‘porcine’ dalam makanan dan minuman hanya dalam beberapa saat. – UTUSAN ONLINE