Berbekal segulung ijazah dalam bidang Mekatronik yang menjadi pelengkap kepada Diploma Penyelenggaraan dan Pemasangan Elektronik Mekanikal yang dimilikinya, dia memulakan kerjaya di syarikat pengurusan lif.

Kini pemuda berusia 28 tahun dari Kulim itu menjawat jawatan sebagai Jurutera Pengeluaran di MS Elevator Sdn. Bhd. di Perai, Pulau Pinang yang bertanggungjawab menyelia pro­jek-projek pemasangan lif di merata tempat.

Menurut Mohd. Azad Faris, dia bertuah kerana didedahkan dengan situasi alam pekerjaan sejak berada di UniKL MSI lagi dan menimba pengalaman berharga ketika mengadakan latihan amali di beberapa syarikat sebelum ini.

“Di UniKL, kami didedahkan dengan latihan amali yang benar-benar menyediakan pelajar untuk masuk ke alam pekerjaan dengan pe­ngalaman dan kema­hiran yang diperlukan.

“Macam saya, selepas tamat latihan amali, saya terus diserap bekerja di syarikat berkenaan, jadi apabila berada dalam alam pekerjaan, saya telah bersedia untuk me­ngendalikan projek yang diberi,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambahnya, selain menyediakan ilmu teknikal, UniKL MSI juga menggalakkan pelajarnya untuk memiliki minda sebagai usahawan dan itulah sebab­nya mereka didedahkan dengan ilmu keusahawanan sejak di peringkat diploma lagi.

Jelas Mohd. Azad Faris, kursus keu
sahawanan termasuk usahawan tekno juga menjadi salah satu syarat lulus untuk mendapat diploma atau ijazah.

“Dari situlah saya kini berjinak-jinak dalam perniagaan bersama seorang rakan untuk mengusahakan projek tana­man hidroponik dan fertigasi.

“Selain itu, satu program yang saya rasa amat berkesan yang diamalkan di UniKL adalah karnival kerjaya yang menyediakan peluang kerjaya kepada bakal graduan, malah pihak universiti sentiasa menghubu­ngi graduan untuk mendapatkan maklumat terkini tentang mereka,” ujarnya.

Perkara itu diakui Khairul Aiman Ishak, graduan dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal yang kini menjadi jurutera di sebuah kilang terkemuka di Bayan Lepas, Flextronic.

Menurut Khairul Aiman, susbjek yang diajar di UniKL MSI sememangnya relevan dengan apa yang mereka hadapi di tempat kerja sekarang, malah sedari awal lagi mereka telah didedahkan de­ngan kemahiran kendiri yang amat berguna apabila berhadapan dengan pelanggan dan pegawai atasan.

“UniKL MSI juga memiliki ‘kilang’ mereka sendiri yang dilengkapi dengan pelbagai me­sin dan peralatan yang canggih serta 80 peratus sama dengan apa yang ada di industri.

“Jadi kami didedahkan de­ngan pelbagai peralatan sejak di kampus lagi. Apabila keluar ke lapa­ngan kerja pastinya tidak kekok atau terkial-kial untuk menggunakan sebarang mesin,” katanya.

Khairul juga mengakui peluang menjalani latihan industri selama lima bulan di Paris, Pe­rancis yang dilaluinya dalam program pertukaran pelajar turut menjadi satu kelebihan buatnya.

Ini kerana, dia dapat belajar mengenai teknologi dan peralatan yang jauh lebih ke hadapan berbanding yang ada di negara ini dan mengaplikasikannya dalam tugasan seharian kini.

Ketika ditanya keistimewaan lain sepanjang berada di UniKL MSI, kedua-dua bekas pelajar itu mengakui pembiayaan pinjaman Mara yang disediakan pastinya paling utama kerana melalui pinjaman itu, pelajar berpeluang melanjutkan pengajian ke pe­ringkat sarjana di luar negara.

Mereka juga berharap, aktiviti sukarela seperti menyertai operasi pasca banjir di beberapa kawasan di Pulau Pinang baru-baru ini menjadi satu elemen utama sebagai jati diri pelajar UniKL.

“Itulah nilai tambah kepada ‘resume’ kami apabila keluar ke alam pekerjaan nanti, malah itulah yang membuktikan pelajar UniKL tidak perah jauh dari masyarakat,” kata Mohd. Azad Faris.