Ini kerana graduan tidak lagi harus berpegang kepada prinsip makan gaji sebaliknya mereka harus mencipta pekerjaan sendiri dengan menjadi usahawan.

Ahli Majlis Mara, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, agensi itu serius membantu golongan muda terutama lepasan universiti sama ada awam atau swasta melalui pelbagai program pembiayaan.

Menurutnya, antara bantuan yang disediakan adalah Program Skim Bantuan Usahawan (PUTRA) yang menyediakan pembiayaan sehingga RM10,000 kepada lepasan universiti sebagai modal permulaan.

“Macam sekarang banyak institusi yang tawarkan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), jadi Mara juga mempunyai bantuan kepada mereka untuk berniaga.

“Kalau boleh kita mahu graduan tidak lagi memikirkan untuk mencari kerja sebaliknya mencipta kerja kerana Mara sediakan terlalu banyak insentif untuk mereka,” katanya selepas menutup Seminar Plucking Business Opportunity di Universiti Teknologi Mara cawangan Pulau Pinang, di sini baru-baru ini.

Katanya, minat terhadap ke­usahawanan itu dipupuk sejak awal melalui kursus dan program di peringkat universiti serta pusat pengajian masing-masing.

Selain itu, katanya, program seminar seperti yang dianjurkan Mara Pulau Pinang itu akan dapat membantu pelajar mengenal pasti potensi diri mereka serta peluang yang ada.

“Pada masa sama pejabat Mara negeri dan daerah menyediakan khidmat rundingan kepada gra­duan mengenai ruang dan peluang yang ada selain menawarkan premis perniagaan buat mereka.

“Di seluruh negara terdapat 7,200 lot perniagaan milik Mara manakala di negeri ini sendiri terdapat 366 unit kedai yang sedia untuk ditawarkan kepada graduan,” katanya.