Baginda selaku Pro Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bertitah, berdasarkan rekod, seramai 1,157 individu di bawah umur 25 tahun telah diisytiharkan muflis sepanjang tahun 2012 sehingga September 2016.

Titah baginda, rekod juga menunjukkan bahawa 22,581 kes muflis melibatkan individu berusia sekitar 25 hingga 34 tahun dan ini menunjukkan mereka yang muflis itu rata-ratanya adalah daripada generasi muda.

“Penggunaan kad kredit dan pembelian kereta berjenama mewah didapati merupakan antara penyumbang utama kepada status muflis di kalangan generasi muda yang mana adalah menjadi sesuatu yang merugikan jika situasi tersebut menimpa para graduan apatah lagi di saat negara mengharapkan generasi baharu sebagai pemangkin ekonomi negara, “ titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketik berangkat bercemar duli menyempurnakan  ’Sidang Ke-Empat Bagi Istiadat Konvokesyen Ke-12 Unimap Tahun 2017’ di Dewan Ilmu Kampus Alam Pauh Putra di sini petang ini.

Keberangkatan baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Dr. Mohd Sofi Osman dan Naib Canselor Unimap, Prof Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Sebanyak 579 orang graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam jurusan Kejuruteraan Bioproses, Kejuruteraan Biosistem, Perniagaan Antarabangsa dan Keusahawanan Kejuruteraan menerima ijazah pada sidang ini.

Sementara itu, anak Penolong Pengarang Sukan Utusan Malaysia, Syafiqah Zainul Azahar Ashaari dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perniagaan Antarabangsa.

Syafiqah yang merupakan anak kedua dari empat beradik ini juga ditemankan bapa dan ibunya Azizah Mat Daud bagi meraikan hari bersejarah ini.-UTUSAN ONLINE