Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Datuk Sulaiman Wak berkata, usaha itu boleh dijayakan melalui inisiatif baharu iaitu pendidikan digital yang berupaya memberi pendedahan kepada generasi masa depan untuk memperoleh ilmu yang sesuai dengan teknologi hari ini.

“Generasi muda Malaysia pada alaf akan datang mesti celik digital supaya mereka dapat bersaing pada peringkat global.

“Kaedah pengajaran dan pembelajaran juga perlu pendekatan baharu yang boleh mendorong penglibatan pelajar sekolah dan universiti secara aktif di samping merangsang mereka untuk berinteraksi secara efektif dengan guru atau pensyarah,” katanya ketika berucap pada Majlis Prapelancaran #mydigitalmaker Fair 2018 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Yasmin Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif, Engage Media Sdn. Bhd., Chung Tack Soon,

Pameran #mydigitalmaker Fair 2018 itu merupakan anjuran MDeC dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, dan Engage Media Sdn. Bhd yang akan diadakan pada 29 hingga 30 September ini Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pameran ini juga bakal menghimpunkan lebih daripada 100 aplikasi gaya hidup digital daripada pempamer syarikat, pameran gajet elektronik seperti komputer riba, kamera digital terkini, komputer riba berkelajuan tinggi, termasuk aplikasi robotik pelajar universiti dan sekolah.

Selain itu, turut dipamerkan ialah peranti digital telefon mudah alih skrin sentuh, permainan video, komputer peribadi yang berinovasi, televisyen LCD serta pelbagai aksesori yang berkaitan dengan dunia teknologi digital sesi ceramah oleh pakar-pakar, kuiz dalam talian dan permainan digital interaktif.

Sementara itu, Yasmin berkata, #mydigitalmaker Fair 2018 bakal menerapkan konsep pembelajaran melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan.

“Pameran ini akan menyediakan lebih banyak permainan interaktif seperti tablet atau telefon pintar kepada pengunjung dalam usaha mewujudkan suasana pembelajaran kreatif dan inovasi dalam mengintegrasikan teknologi tersebut dalam proses kokurikulum pendidikan negara.

“Kita juga perlu mengambil kesempatan daripada pameran teknologi digital ini yang dapat memanfaatkan generasi muda Malaysia,”katanya.