Lebih membanggakan pelajar Program Mobiliti Outbound UTHM itu mempamerkan bakat luar biasa mereka melalui persembahan formasi kompang yang berjaya menarik minat hampir 2,000 penonton.

Ketua persembahannya, Ahmad Wafri Ahmad Wardi, 19, persembahan kebudayaan itu membuka mata rakyat Jepun tentang budaya Malaysia dan secara tidak langsung membantu mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Katanya, persembahan kompang ini cukup membanggakan apabila berjaya memukau penonton sehingga menggegarkan majlis prapelancaran tersebut.

“Satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan apabila diberi peluang untuk mengadakan persembahan kompang di Majlis Prapelancaran Sukan Olimpik 2020 di Jepun.

“Bukan itu sahaja, pemilihan saya dan ahli kumpulan yang terlibat dengan persembahan ini dilihat platform terbaik untuk menimba pengalaman dari negara matahari terbit itu,” katanya.

Program mobiliti itu diadakan dengan kerjasama dari Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) UTHM dan Jabatan Pembelajaran Antarabangsa Universiti Tokyo yang diketuai Ketua Jabatan Kepimpinan, Khidmat Komuniti, Pengucapan Awam dan Kemahiran UTHM, Dr. Khairunesa Isa.

Ahmad Wafri berkata, secara keseluruhan program ini berjaya mencapai objektif utamanya iaitu untuk memperkenal seni dan budaya Melayu pada peringkat antarabangsa.

“Program ini berjaya mencapai sasaran. Apa yang penting, peserta program mobiliti dapat menerapkan nilai-nilai insaniah melalui kerjasama secara berkumpulan, kemahiran kepimpinan dan kemahiran berkomunikasi,” katanya.

Dalam pada itu, sepanjang program tujuh hari enam malam itu, peserta mobiliti turut menerima jemputan dari Sekolah Rendah Jindaiji untuk berkongsi keunikan alat muzik tradisional kompang.