Fiesta tiga hari bertemakan Communitizing Internationalization itu memberi peluang kepada orang ramai memperoleh penga­laman menerusi perkongsian perbezaan budaya dengan berinte­raksi secara lebih dekat bersama komuniti antarabangsa UMP.

Pengarah Pejabat Antarabangsa UMP, Prof. Madya Dr. Ainol Haryati Ibrahim berkata, komuniti antarabangsa universiti tersebut adalah seramai 1,000 orang terdiri daripada 700 penuntut selain staf dan ahli keluarga mereka daripada 33 buah negara.

“Mereka akan mempersembahkan keunikan budaya menerusi pameran, penyediaan juadah yang mempunyai cita rasa berbeza dan persembahan kebudayaan negara masing-masing.

“Penganjuran fiesta ini juga dapat mempromosikan agenda [email protected] yang mana komuniti UMP berpeluang memperoleh pengalaman silang budaya di samping memperkayakan pengalaman pembelajaran dan menggalakkan integrasi antara kaum,” katanya di sini hari ini.

Menurut Ainol Haryati, suasana persekitaran antarabangsa yang disemai menerusi penganjuran program seperti itu turut memberi pengalaman berharga dan menarik kepada mahasiswa tempatan serta luar.

Kata beliau, bagi menggalakkan penyer­taan komuniti setempat, orang ramai dijemput me­ngunjungi dan mengambil bahagian dalam beberapa acara serta pertandingan yang disediakan sepanjang fiesta tersebut.