Ia berlangsung selama enam hari bermula semalam hingga 30 Oktober ini dan dijangka mampu menarik lebih 20,000 pengunjung.

Festival tahunan ini dianjurkan oleh sekretariat FestKon12 dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) Unimap sempena Istiadat Konvokesyen Ke-12 yang bertemakan ‘Menjana Minda Berinovasi'.

Pelancaran penuh gilang-gemilang FestKon12 ini telah disempurnakan oleh Canselor Unimap, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Pusat FestKon12, Dataran Pusat Kejuruteraan malam tadi.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lai­latul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor Unimap. Turut hadir Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Dalam ucapannya sempena majlis itu, Zul Azhar berharap pelbagai program yang menggunakan kemahiran berkomunikasi, keusahawanan dan daya kreatif membolehkan mahasiswa yang terlibat mempelajari dan mempraktikkan segala ilmu yang diperoleh terutama dalam aspek pengurusan organisasi.

“Inovasi merupakan idea, amalan atau objek yang dianggap baharu dan lebih baik dari yang sedia ada. Ia dihasilkan oleh manusia kreatif bagi membina trend baharu dengan menggunakan peluang maksimum walaupun dalam ekosistem yang mempunyai banyak kekangan dan persaingan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, menjana minda berinovasi adalah garapan buah fikiran yang perlu diterapkan dalam pelbagai dimensi bagi melahirkan mahasiswa yang lebih kompeten dan karismatik agar dapat mencapai kecemerlangan.

“Sekian lama, kurikulum pe­ngajian Unimap menekankan kemajuan-kemajuan baru yang kini lebih dikenali sebagai Revolusi Industri 4.0.

“Selaras dengan itu, elemen daya saing dan inovasi, yang mendasari Industri 4.0, amat di­perlukan dalam usaha menganjurkan program-program seperti FestKon ini,” katanya.

Katanya, kemahiran, ilmu dan sikap yang baik telah dipraktikkan dan dikembangkan sewajarnya selama berlangsungnya persiapan dan pelaksanaan ­Fes­t­Kon beberapa minggu ke­belakangan ini.

Turut berlangsung sempena majlis perasmian ialah pelancaran Jom Wakaf al-Quran yang disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin.

Al-Quran yang diwakafkan akan diagihkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, SMK Mata Ayer, SMK Beseri, SMK Agama Perempuan Kangar, SMK Datuk Ali Ahmad, Sekolah Kebangsaan (SK) Oran, SK Utan Aji, SK Sungai Berembang, SK Putra dan Sekolah Rendah (SR) Islam 1.

Turut diadakan penyampai­an 20 ‘water dispenser’ kepada enam kolej kediaman Unimap.

Selain itu juga diadakan persembahan kebudayaan dan nya­­nyi­an yang melibatkan pelajar Unimap.

Kehadiran penyanyi Aizat Amdan menyerikan lagi malam pe­rasmian FestKon12 ini apabila menghiburkan pengunjung de­ngan empat buah lagu popularnya.

Sempena FestKon12, seba­nyak 45 gerai dibuka termasuk gerai makanan dan pelbagai lagi.

Antara program FestKon12 diadakan aktiviti berbentuk inovasi termasuk mewujudkan tabung idea, minda inovatif dan kreatif.

Selain itu diadakan pelbagai aktiviti menarik seperti sukan rakyat, sukan ‘explorace’ berunsurkan kesedaran penggunaan yang ditaja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), ikrar derma organ dan pertan­dingan azan.

Juga diadakan pertandingan video kreatif yang memerlukan peserta mencipta video mengikut kreativiti sendiri sepanjang enam hari FestKon berlangsung.