Pengarahnya, Dr. Wan Rosmini Hassan berkata, sehubungan itu pihaknya mengadakan pelbagai pameran, seminar pendidikan dan siri jelajah pendidikan di beberapa wilayah di seluruh republik ini dalam usaha menarik pelajar Indonesia untuk belajar di Malaysia.

“Sehingga pertengahan tahun ini, kira-kira 8,500 pelajar dari republik ini sedang belajar di pelbagai pusat pengajian tinggi di Malaysia. Kita berharap melalui promosi yang sedang dijalankan, sasaran 10,000 pelajar akan dapat dicapai menjelang hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Wan Rosmini baru memulakan tugasnya sebagai Pengarah Education Malaysia (Promosi) di Indonesia, pertengahan Jun lalu menggantikan Yahurin Mohd. Yassin yang tamat tempoh perkhidmatan.

Menurutnya, selain mengadakan jelajah pendidikan di beberapa wilayah di Indonesia, bahagian promosi pendidikan dengan tagline ‘Eksplorasi EM Promosi Pendidikan 2015’ turut mengadakan pertemuan dengan ejen pendidikan di sini bagi mempromosikan pendidikan Malaysia.

“Kita sering mengadakan perjumpaan dengan ejen pendidikan, media, persatuan alumni universiti Malaysia serta agensi Malaysia di sini seperti Penerbangan Malaysia, Maybank dan sebagainya untuk promosi pendidikan,” ujarnya.

Wan Rosmini berkata, tugas promosi menjadi lebih mudah dengan adanya agensi seperti Education Malaysia Global Services (EMGS) yang dilantik oleh kerajaan untuk membantu tugas EM mengadakan promosi, pameran, seminar dan sebagainya.

“Selain itu, EMGS juga berpe­ranan menguruskan visa pelajar dan menyelaraskan maklumat berkaitan penghantaran pelajar ke Malaysia,” ujarnya sambil memberitahu siri jelajah pendidikan ke tujuh wilayah di Indonesia bermula Ogos lalu sehingga November depan.

Menurutnya, bagi menarik minat pelajar, pada setiap roadshow pihaknya menyenaraikan syarikat yang menawarkan biasiswa pendidikan tinggi serta memberi pe­nerangan mengenai syarat-syarat kemasukan ke pusat pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia.

“Ramai pelajar Indonesia cemerlang dalam pendidikan, tetapi mereka tidak mampu menyambung pelajaran kerana kekangan kewangan. Jadi kita menyenaraikan syarikat yang menawarkan biasiswa,” ujarnya.

Beliau memberitahu, ramai pelajar Indonesia di Malaysia memberi maklum balas positif mengenai suasana belajar di Malaysia.

Katanya, mereka mudah menyesuaikan diri kerana persamaan bahasa, budaya dan persekitaran.

“Malaysia dan Indonesia selalu disebut sebagai negara serumpun kerana memiliki persamaan dari aspek budaya, bahasa, dan cara hidup. Oleh kerana itu, tidak berlaku kejutan budaya apabila pelajar Indonesia belajar di Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, faktor ke­stabilan ekonomi dan politik juga memberi keyakinan kepada pelajar luar negara belajar di Malaysia, selain kadar bayaran yang tidak terlalu tinggi berbanding Amerika Syarikat, Britain, Australia dan beberapa negara lain.

“Kerajaan Malaysia memberi perhatian sepenuhnya terhadap pendidikan tinggi dan sentiasa memantaunya untuk memastikan mutu pendidikan yang ditawarkan adalah terbaik.

“Malaysia termasuk dalam Perjanjian Washington, maka tiada siapa patut mempersoalkan mutu ijazah kami kerana kami sentiasa dipantau oleh badan pengiktirafan antara bangsa,” ujarnya.

Wan Rosmini juga membe­ritahu, antara 11 hingga 15 universiti awam dan swasta di Malaysia terlibat dalam eksplorasi pendidikan yang dijalankan oleh pihaknya setakat ini. Ia melibatkan kursus peringkat diploma, ijazah pertama dan ijazah kedoktoran. – UTUSAN